KUALA LUMPUR — Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengesahkan bahawa kebocoran air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 tular semalam berpunca daripada kecuaian prosedur pihak kontraktor semasa kerja-kerja pengubahsuaian bumbung dijalankan.
Dalam satu kenyataan susulan yang dikeluarkan pagi ini, MAHB memaklumkan beberapa kawasan di Terminal 1 terjejas apabila hujan lebat yang luar biasa berlaku sewaktu kerja-kerja pengedap bumbung utama terminal sedang dijalankan.
“Mengikut protokol keselamatan, kerja perlu dihentikan serta-merta dan pasukan berkenaan diarahkan meninggalkan kawasan bumbung.
“Dalam keadaan tergesa-gesa untuk beredar akibat cuaca buruk, kontraktor gagal menanggalkan kepingan papan lapis (plywood) yang digunakan untuk menutup titik saliran sebagai langkah keselamatan, menyebabkan salah satu sistem saliran bumbung tersumbat,” demikian menurut MAHB.
Semalam, rakaman video berdurasi 26 saat yang menunjukkan air mencurah melalui siling di sebuah kawasan yang dipercayai dewan berlepas tersebar secara meluas di media sosial, menimbulkan kebimbangan orang ramai.
Selepas kejadian, MAHB berkata pasukan kejuruteraan, operasi dan keselamatannya digerakkan segera, dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan penumpang, usaha pembendungan dan perlindungan sistem elektrik.
Pengendali lapangan terbang itu turut menyatakan bahawa mereka berhubungan rapat dengan rakan penerbangan untuk meminimakan sebarang impak operasi.
“Kami juga bekerjasama dengan kontraktor untuk melaksanakan penambahbaikan segera terhadap prosedur kerja mereka, termasuk keperluan rundingan wajib terhadap ramalan cuaca sebelum memulakan kerja di bumbung, serta pengukuhan protokol kontigensi bagi penggantungan kerja serta-merta ketika cuaca buruk,” jelas kenyataan itu lagi.
Dalam kenyataan sama, MAHB berkata semakan dalaman mendapati kebocoran berlaku ketika kontraktor bumbung sedang menjalankan kerja-kerja pengedapan yang dijadualkan ke atas titik saliran ketika aktiviti kilat semakin aktif.
Pasukan kerja berhenti membuat kerja-kerja pembaikan tetapi gagal mengalihkan papan lapis yang digunakan untuk menutup titik-titik saliran demi keselamatan, menyebabkan salah satu sistem saliran tersumbat.
“Apabila hujan lebat yang luar biasa menyusul, saliran yang tersumbat menghalang air dari mengalir dari bumbung seperti yang direka. Ini mengakibatkan jumlah besar air terkumpul di atas bumbung, yang kemudiannya bocor melalui siling terminal,” kata MAHB.
MAHB juga berkata pihakya tidak dapat menerima kecuaian kontraktor itu dengan menyifatkan perkara itu sebagai satu kecuaian yang tidak boleh diterima dalam prosedur kerja asas yang berada di bawah standard yang dijangkakan daripada kontraktor yang bekerja pada infrastruktur lapangan terbang kritikal.
“KLIA dipertanggungjawabkan kepada piawaian tertinggi oleh para pengembara, dan kami komited memastikan kontraktor serta rakan kerjasama kami mematuhi piawaian yang sama.
“KLIA sedang mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor berkenaan bagi menangani kegagalan prestasi ini,” kata kenyataan itu lagi.
Semalam, MAHB mengesahkan berlaku kebocoran air akibat ribut yang menjejaskan beberapa bahagian di KLIA Terminal 1, hari ini.
MAHB dalam satu kenyataan berkata, pasukan kejuruteraan, operasi dan keselamatan sudah digerakkan bagi mengendalikan situasi berkenaan.
Katanya, keutamaan diberikan kepada keselamatan penumpang, usaha kawalan, serta perlindungan terhadap sistem elektrik. – MalaysiaGazette


