KLANG – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang meneliti dan mengkaji kesesuaian berhubung cadangan menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun ke 65 tahun.
Menteri berkenaan Steven Sim berkata perkara itu diteliti menerusi satu jawatankuasa khas yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Dasar dan Antarabangsa) Dr Mohd Shaharin Umar memandangkan ia satu daripada undang-undang buruh di bawah bidang kuasa kementerian.
Beliau berkata dalam menjalankan kajian itu, pihaknya akan mendapatkan input dan maklum balas daripada pihak berkepentingan, khususnya sektor awam, pekerja dan majikan dalam memastikan undang-undang berkenaan selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.
“Jawatankuasa itu akan melihat kepada kesesuaian di Malaysia sebab ada pro dan kontra dan isu cabaran tertentu untuk kita naikkan (usia persaraan), tetapi apa-apa pun di kementerian, antara reformasi pasaran buruh adalah untuk kita lihat semua 28 undang-undang perburuhan yang ada.
“Sebab ada antara undang-undang ini yang sudah ketinggalan zaman, jadi kita akan lihat cara untuk kita murni dan harmonikan, dan ada juga perkara yang kita terpaksa mansuhkan atau kemas kini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2025 peringkat Zon Tengah di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata cadangan untuk melanjutkan had usia persaraan kepada 65 tahun, wajar diberi perhatian dan pertimbangan.
Pada 20 Mei lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan mencadangkan kerajaan untuk mempertimbangkan menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun.
Mengenai majlis berkenaan, Sim berkata pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM10 juta, iaitu peningkatan ketara berbanding RM5.8 juta pada 2024 sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi dalam sejarah pelaksanaan PHEKS.
Beliau berkata langkah itu mencerminkan usaha KESUMA untuk memperkasakan lagi gerakan kesatuan sekerja di Malaysia dan bantuan tersebut boleh digunakan bagi program latihan serta pendidikan selaras hasrat untuk melihat ahli kesatuan mendapat latihan yang baik, contohnya latihan kemahiran, pengurusan, kepimpinan, dan sebagainya.
Jumlah keseluruhan permohonan bantuan berkenaan yang diterima ialah 1,049 dan sebanyak 551 permohonan telah diluluskan bernilai RM7.15 juta, termasuk 138 permohonan untuk Peringkat Zon Tengah meliputi Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan sebanyak RM2.1 juta.
— BERNAMA