IPOH – Perak serius dan komited dalam membendung sebarang bentuk gejala penggunaan rokok elektrik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia Dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, perundangan sedia ada diharap memberi impak positif bagi mengurangkan ketagihan vape khususnya dalam kalangan Orang Belum Dewasa (OBD).
Katanya, antara peruntukan undang-undang terbabit adalah seksyen 13 (1) Akta 852 dan seksyen 17(1) Akta 852.
“Di bawah seksyen 13 (1) Akta 852 memperuntukkan larangan penjualan apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok, kepada OBD.
“Selain itu, sebanyak 336 notis telah dikeluarkan dalam seluruh negeri kepada individu OBD atas kesalahan berkaitan seksyen tersebut sejak dari mula pelaksanaan akta ini hingga 21 Oktober lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahmad Man (PN-Kuala Sepetang) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.
Di samping itu Khairudin berkata, dalam usaha yang sama, Jabatan Pendidikan Negeri turut menggariskan empat inisiatif utama sesuai dengan saranan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Kata beliau, inisiatif berkenaan adalah Pengukuhan Dasar dan Penguatkuasaan, Program Pendidikan dan Pencegahan, Penglibatan Agensi Luar dan Komuniti serta Intervensi dan Pemulihan.
“Larangan penggunaan vape dan bahan terlarang dikuatkuasakan di semua premis sekolah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk operasi bersepadu di kawasan sekitar sekolah.
“Garis Panduan Pengurusan Isu Vape di Sekolah Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) KPM Bilangan 17 Tahun 2015 diperkenalkan bagi membimbing pentadbir dalam tindakan pencegahan dan intervensi awal,” ujar beliau.
Tambah beliau, permasalahan disiplin pelajar, samada berpunca daripada vape atau pun pengaruh negatif media sosial menjelaskan bahawa, setiap daripada semua pemegang taruh yang terlibat perlu sama–sama mengambil tanggungjawab ini.
“Apa yang lebih penting ialah, peranan kita sebagai ibu bapa penjaga terhadap disiplin dan pengawasan kepada anak jagaan masing–masing yang sudah tentulah bermula daripada rumah kita sendiri,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


