KUALA LUMPUR – Program Platform MG bertajuk YB Muda, buat kerja atau sekadar popular? anjuran portal MalaysiaGazette yang diadakan di Dewan Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), membantu membentuk sikap keterbukaan pelajar dalam isu politik.
Sikap itu memberi ruang kepada generasi muda untuk menerima kepelbagaian perspektif dan menjadikannya pengalaman pembelajaran yang menyeluruh dan praktikal sekiranya mereka berminat menceburi dunia politk.
Menurut Ahli Persatuan Brotherhood Malaysia, Mohamad Hasbullah Matsom program seperti itu secara tidak langsung akan memberi banyak input dan pengajaran kepada generasi muda yang bakal pemimpin masa hadapan negara.
“Pelajar yang hadir ke forum malam ini semuanya adalah pelajar jurusan Sains Politik, jadi bila panel yang berpengalaman kongsi cerita semestinya mereka dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi pada masa akan datang.
“Sikap keterbukaan ini penting sebab kita akan dapat tahu perkembangan atau masalah yang dihadapi dalam sesuatu parti. Apa yang dihadapi mereka perlulah disuarakan supaya parti lain dapat mengambil iktibar dalam penyelesaian masalah,” katanya.
Mohamad Hasbullah turut menambah, pengajaran politik penting kepada generasi muda untuk mereka sedar bahawa tidak semua permainan politik itu kotor, jadikan politik bersih sebagai landasan utama.
Ketua Pemuda UMNO bahagian Bangi, Mohamad Asian Ahmad turut berpendapat, program sebegini penting kerana dapat membuka minda generasi muda yang kebanyakannya tidak ambil endah terhadap politik.
“Sekarang ini ramai anak-anak muda kita yang berkata mereka tidak suka politik, jadi forum ini dapat menjadi pendedahan awal untuk mereka mengenali kerjaya sebagai wakil rakyat.
“Generasi muda perlu lebih peka terhadap persekitaran politik. Apabila kita jemput ahli politik dari pelbagai parti, lebih banyak pendapat dan pandangan serta ilmu akan diterima. Yang baik, jadikan inspirasi dan pengalaman buruk jadikan tauladan,” katanya.
Ketua Pemuda UMNO bahagian Bangi, Mohamad Asian Ahmad turut berpendapat, program sebegini penting kerana dapat membuka minda generasi muda yang kebanyakannya tidak ambil endah terhadap politik.
“Sekarang ini ramai anak-anak muda kita yang berkata mereka tidak suka politik, jadi forum ini dapat menjadi pendedahan awal untuk mereka mengenali kerjaya sebagai wakil rakyat.
“Generasi muda perlu lebih peka terhadap persekitaran politik. Apabila kita jemput ahli politik dari pelbagai parti, lebih banyak pendapat dan pandangan serta ilmu akan diterima. Yang baik, jadikan inspirasi dan pengalaman buruk jadikan tauladan,” katanya.
Selain itu, Ketua Eksekutif Pelajar Kolej Ibu Zain, Aiman Hazeeq Roslan berkata, program itu membantunya untuk bersifat lebih terbuka terutamanya sebagai seorang wakil pelajar.
“Forum ini mengajar saya untuk lebih terbuka dalam menerima pandangan, tidak kisah latar belakang, parti atau ideologi. Ini kerana objektif kita sama iaitu membangunkan negara atau komuniti yang baik.
“Selain itu, ini juga membantu mahasiswa dalam membuat satu pandangan yang tidak hanya tertutup kepada sesuatu parti atau ideologi sahaja,” katanya.
Aiman Hazeeq juga berkata, ia dapat membantu mahasiswa melihat corak politik dalam negara serta membantu belia untuk lebih matang dalam menceburkan diri dalam bidang politik tanpa sebarang rasa ragu-ragu.
Sementara itu, pelajar tahun dua Sains Politik, Choo Mee Yee berkata, keterbukaan seperti ini perlu kerap dilakukan supaya segala maklumat dan keputusan pemerintah dapat diakses dan difahami oleh umum.
“Bila para panel dari pelbagai latar belakang dijemput, kita akan lebih faham kenapa sesuatu keputusan itu diambil dan secara tidak langsung, mahasiswa akan jadi lebih terbuka.
“Kami lebih memahami cara wakil rakyat bekerja dan berjuang untuk kesejahteraan rakyat. Perkara ini dapat dijadikan pedoman sekiranya ada di antara kami yang ingin menjejakkan kaki ke dalam dunia politik sebagai seorang wakil rakyat yang bijak, prihatin dan dan peka terhadap persekitarannya.
“Saya harap program berunsur politik seperti ini akan diadakan dengan lebih banyak lagi. Namun, saya faham program yang berkaitan dengan politik seperti ini sukar untuk dijalankan kerana sedikit sensitif,” katanya. – MalaysiaGazette