KUALA KANGSAR – Jika golongan seusianya lebih memilih untuk berkelana ke kota-kota besar bagi menyarung kolar biru dan kolar putih, Edzreen Edzwan Kamalrudin, 27, pula mengambil langkah berbeza demi mempertahankan warisan bangsa.
Walau wang ringgit tidak dijadikan ukuran, namun ia disifatkan sebagai satu kepuasan dengan membuka galeri yang menjual keris di kampung halamanya di Kampung Kota Lama Kanan, di sini sejak lima tahun lalu.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, minat mengusahakan perniagaan melalui Galeri Keris Empire itu timbul dek kerana cintanya terhadap senjata tradisional Alam Melayu itu sendiri.
Pemilik galeri, Edzreen berkata, jiwanya seolah-olah tersentuh apabila bercakap dalam soal kesenian dan warisan Melayu khususnya berkenaan dengan keris.
“Secara peribadi saya, saya gemar melihat pada pamor atau corak yang dibentuk pada bilah-bilah keris. Uniknya apabila terdapat beribu-ribu jenis pamor walau ada kalanya keris itu dihasilkan oleh empu yang sama.
“Selain itu, setiap pamor yang dihasilkan juga mempunyai falsafah serta motif tersendiri, dan itu yang menarik minat saya terhadap keris ini,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui MG Perak, di Galeri Keris Empire di Kampung Kota Lama Kanan, di sini, baru-baru ini.
Selain keris, galeri berkenaan turut menjual pelbagai jenis senjata tradisional lama seperti, lembing, kerambit, parang, pedang, busur serta anak panah, di samping busana tradisional, buku-buku rujukan dan sebagainya.
Menurut Edzreen lagi, keris bukan sekadar alat senjata untuk berlawan, sebaliknya ia merupakan pelengkap pada busana tradisional Melayu sejak zaman-berzaman.
Katanya, keunikan lain pada senjata tradisional itu juga ia mampu menjadi lambang atau mempamerkan status pemiliknya sama ada ia bergelar bangsawan, golongan alim, atau pengembara.
Stigma kaitkan keris dengan perkara mistik
Bercerita lanjut tentang perusahaan di Galeri Keris Empire, Edzreen tidak menolak masih terdapat stigma segelintir pihak yang masih belum dikikis apabila mengaitkan senjata tradisional itu dengan perkara-perkara mistik.
Menurutnya, dia tidak ambil pusing, sebaliknya masih teguh dengan pendirian bahawa keris adalah lambang masyarakat Nusantara yang harus dipertahankan.
“Ada yang mendakwa keris ini bahaya sebab ia berhantu. Bagi saya, mereka yang cakap begitu hanya tahu bercakap sahaja.
“Para guru (pakar dalam ilmu keris) yang saya jumpa selama kini tidak pernah mengeluarkan amaran sedemikian (untuk saya teruskan dalam perniagaan ini).
“Sedangkan, mereka ini adalah golongan yang lebih tahu tentang keris. Jadi saya memang tidak ambil kisah terhadap apa yang mereka cakap,” katanya.
Reka bentuk Keris Taming Sari antara peroleh permintaan tinggi
Edzreen memberitahu, terdapat pelbagai jenis keris yang boleh diperoleh di Galeri Keris Empire termasuk keris yang mengikut corak tempa tempatan serta negara luar seperti Indonesia dan Thailand.
Katanya, antara jenis keris yang sering mendapat permintaan tinggi adalah Keris Lancang atau Keris Negeri Perak, Keris Selit, Keris Jawa, Keris Kedah serta reka bentuk Keris Taming Sari.
Tambahnya lagi, selain keris yang sedia dipamerkan di galeri, dia turut menerima tempahan-tempahan keris yang mana ia memakan masa empat ke enam bulan untuk disiapkan.
“Setiap keris yang ada di sini saya peroleh daripada empu di Pak Mazin di Kuala Kangsar, Kedah, Kelantan, Terengganu serta dari Indonesia. Dan mereka ini menghasilkan keris secara tradisional.
“Selain daripada yang ditempa baru, saya juga ada menjual keris lama berusia ratusan tahun yang saya peroleh daripada pelbagai pihak ,” ujarnya.
Menurut Edzreen, harga keris yang dijual mengikut beberapa kategori iaitu bermula pada harga sekitar RM195 sehingga ada yang mencecah puluhan ribu ringgit.
Tembusi pasaran antarabangsa
Edzreen berkata, perniagaannya mendapat sambutan memberangsangkan apabila berjaya melebarkan sayap ke seluruh negara dan antarabangsa.
Katanya, ia impak daripada 80 peratus perusahaan di Galeri Keris Empire yang dijalankan secara atas talian iaitu melalui laman sesawang, media sosial dan laman membeli-belah atas talian.
“Saya pernah menghantar pesanan keris ini sehingga ke Singapura, Amerika Syarikat, dan Kuwait. Walau rata-rata pelanggan Orang Melayu, namun saya juga ada menerima tempahan pembelian daripada yang bukan berbangsa Melayu,” kata Edzreen.
Dalam pada itu, Edzreen berkata, jika ada sesiapa yang seusia dengannya dan mempunyai minat sama, perasaan takut harus dikikis dan teruskan hasrat itu.
“Keris ini adalah pusaka warisan bangsa Melayu kita. Jika ada yang minat (untuk meneroka dalam ilmu berkaitan keris) teruskan.
“Malah dalam zaman kini, semua maklumat ada di hujung jari. (Dan jika sudah mahir) manfaatkan ilmu itu media sosial dengan kita mengajar masyarakat dan kita membantu melupuskan stigma kononnya keris ini ada kaitan dengan mistik sahaja,” tambahnya. -MG Perak
TONTON:
MGPerak: Keunikan Keris, Tambat Hati Anak Muda Kuala Kangsar
MGPerak: Keunikan Keris, Tambat Hati Anak Muda Kuala Kangsar
Artikel Berkaitan: