Keupayaan Malaysia kekalkan perpaduan tanda kematangan negara – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Keupayaan Malaysia mengekalkan perpaduan nasional meskipun dalam landskap sosial yang pelbagai dan kompleks menunjukkan tanda kematangan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sebagai sebuah negara berbilang kaum dan budaya yang dipengaruhi oleh budaya Melayu, India dan Cina, serta tamadun Barat, mengemudi landskap sedemikian sememangnya lebih rumit berbanding di negara lain.

Perdana Menteri berkata walaupun ketegangan kaum timbul dari semasa ke semasa, sebahagian besar rakyat Malaysia terus mendukung tahap toleransi beragama yang unik.

“Saya berbangga untuk mengatakan bahawa di Malaysia, rata-ratanya majoriti mengakui hakikat bahawa walaupun Islam adalah agama Persekutuan, toleransi beragama, bagi saya, adalah tinggi,” kata beliau pada sesi soal jawab semasa Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026, di sini, hari ini.

Anwar berkata di Malaysia terdapat etnik Cina dan India, di samping pelbagai suku kaum peribumi, dan menguruskan kepelbagaian sedemikian memerlukan kesabaran dan juga kematangan.

Walaupun mengakui bahawa kerajaan tidak dapat memenuhi setiap permintaan atau aduan yang dibangkitkan, namun beliau berkata pentadbiran negara terus menumpu untuk mengekalkan kestabilan dan dasar yang jelas.

“Pada pandangan saya, tumpuan seharusnya pada kestabilan. Kita perlu terus mendidik dan belajar daripada ini. Tahap kesedaran, adalah untuk memahami bahawa tanpa kestabilan, akan ada risiko,” kata beliau.

Perdana Menteri juga berkata kestabilan merupakan asas penting untuk memajukan pembangunan ekonomi, teknologi baharu dan menyediakan akses pendidikan.

Dalam pada itu Anwar turut mengakui terdapat segelintir pihak yang sering menuntut permintaan ekstremis daripada ketuanan Melayu hinggalah kepada pandangan ekstrem daripada sekumpulan kecil penganut Kristian dan Hindu.

Namun begitu, beliau melahirkan keyakinan rata-rata penduduk di Semenanjung Malaysia, serta di Sabah dan Sarawak, lebih sukakan pendekatan yang wajar dan seimbang terhadap kenegaraan.

“Untuk memastikan negara dapat meneruskan kelangsungannya, kita perlu rasional, dan memahami bahawa kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak,” kata beliau.

Anwar berkata walaupun Malaysia bukanlah model yang sempurna untuk dicontohi oleh negara lain, namun keupayaan negara untuk kekal bersatu di tengah-tengah krisis ekonomi global dan tekanan dalaman kekal menjadi kekuatan terbesarnya.

Dialog Kuala Lumpur-Ankara anjuran ISIS Malaysia dan SETA Foundation yang julung kali diadakan itu menghimpunkan para penggubal dasar yang membincangkan kesan kerjasama enam dekad Ankara dan Putrajaya serta bagaimana kepentingan bersama ini memberi impak kepada geopolitik dan geoekonomi di rantau masing-masing.

— BERNAMA


IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI