IPOH – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung penyebaran video palsu berkenaan teks khutbah Jumaat di semua masjid di Negeri Perak yang menyentuh isu boikot bulan lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, susulan itu individu yang terlibat dalam video berkenaan telah dipanggil bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, baru-baru ini.
“Berkenaan dengan kes tersebut, polis masih lagi dalam tindakan lanjut untuk melengkapkan lagi kertas siasatan.
“Kita juga akan panggil beberapa lagi saksi untuk membantu kita melengkapkan siasatan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Menembak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak bersama Media Perak di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi.
Media sebelum ini melaporkan, polis menerima aduan daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati terhadap sebuah video TikTok dimuat naik seorang pemilik akaun media sosial berkenaan yang mengulas tentang khutbah Jumaat di Perak pada 24 Mei lepas.
Menerusi paparan video tersebut, seorang lelaki dilihat meminta khatib serta imam bertugas agar tidak membaca perenggan yang menyentuh perihal boikot.
Ia dipercayai ekoran teks rasmi khutbah yang dibacakan di semua masjid dan surau diri Jumaat itu meminta umat Islam untuk menghentikan amalan boikot ke atas perniagaan tertentu.
Susulan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Azlan meminta agar pihak media dapat bekerjasama dengan PDRM dalam menangani sebarang isu yang mampu mengangguguat keselamatan awam.
“Saya sarankan kepada semua pengamal media supaya kadang-kadang terdapat perkara di luar jangka. Masa kini ada pihak-pihak tertentu yang kalau kita tengok di media sosial kadang-kadang (ia berbentuk) tohmahan daripada netizen dan sebagainya.
“Ini tanggungjawab kita selaku pengamal media untuk kita sama-sama membanteras sesuatu jenayah. Jika ada tohmahan-tomahan tidak benar, maka selaku pengamal media kita kena berperanan mematahkan cubaan anasir seperti ini,” ujarnya lagi. -MG perak
Artikel Berkaitan:
Mufti Perak akan beri penjelasan berkaitan khutbah Jumaat isu boikot