KIGIP pelengkap ekosistem perindustrian di Perak

BAGAN SERAI – Pelaksanaan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) mampu mengukuhkan dan menjadi pelengkap ekosistem perindustrian di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelan Perak Sejahtera 2030 dapat direalisasikan dengan melaksanakan projek-projek berimpak tinggi seperti KIGIP.

“Di Selatan, kita sudah ada Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim; di Pantai Barat kita ada Lumut Maritime Industrial City (LUMIC) dan Halal Industrial Park; di Kinta kita ada Silver Valley Technology Park (SVTP).

“KIGIP akan bertapak di utara, sekali gus menjadi pelengkap kepada ikhtiar kerajaan untuk mengukuhkan ekosistem perindustrian di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Dewan Dato Zainal Abidin Zin, dekat sini, pada Sabtu.

Majlis dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Tambah Saarani, pelaksanaan KIGIP yang membawa bersama projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baharu telah memberi khabar gembira kepada penduduk Kerian yang menanggung derita sekian lama berhadapan isu kekurangan air.

“KIGIP ini tentunya bukan sekadar projek pelaburan dan bukan sekadar tapak industri berimpak tinggi.

“Ia menjadi sandaran kita untuk memacu ekonomi, mencipta peluang kerjaya untuk anak-anak muda serta pelantar untuk kita meningkatkan mutu kehidupan rakyat,” ujarnya. – MG Perak.

Artikel Berkaitan:

Perak mohon bina susur keluar baharu KIGIP ke PLUS

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI