KIGIP terima kelulusan kebenaran merancang – Saarani

BAGAN SERAI – Majlis Daerah Kerian telah mengeluarkan kelulusan penuh bagi permohonan kebenaran merancang terhadap pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kelulusan kertas pertimbangan projek itu telah diperolehi pada Khamis.

Katanya, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga telah menyelesaikan semua urusan melibatkan pengambilan tanah bagi projek KIGIP.

“Urusan penyambungan sembilan hakmilik baru atas nama Sime Darby telah dikeluarkan hanya dalam tempoh tiga hari melibatkan tanah berkeluasan 742.63 hektar.

“Kerajaan negeri melalui PTG juga mengambil langkah proaktif menyegerakan urusan pertukaran nama daripada Sime Darby kepada SD Guthrie Berhad melibatkan sembilan hak milik dalam tempoh hanya satu hari bagi membolehkan tindakan selanjutnya boleh dilakukan pemilik tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah KIGIP di Tapak KIGIP Fasa Pertama yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ladang Tali Ayer, dekat sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Tambah Saarani, KIGIP bukan sahaja akan menjadi pelengkap kepada pengukuhan jaringan ekonomi di Perak, tetapi limpahan manfaatnya dijangka akan melebar jauh ke daerah lain termasuk penyelesaian isu bekalan air bersih hingga ke daerah Larut, Matang dan Selama.

Jelas beliau, justeru kerajaan negeri mahu melihat Kerian dan daerah-daerah lain dapat dibangunkan berdasarkan keunikan dan kekuatan masing-masing kerana ia merupakan jalan terbaik untuk merapatkan jurang wilayah serta ekonomi.

“Perdana Menteri pernah menyatakan kepada saya mengenai hasrat beliau untuk melihat KIGIP ini bukan sahaja menjadi pemacu enjin ekonomi, tetapi juga membolehkan rakyat di kampung sekitar Kerian dapat sama-sama merasai nikmat pembangunan.

“Beliau mahu daerah Kerian bukan sahaja masyhur sebagai jelapang padi Perak, tetapi juga dapat tumbuh dan berkembang sebagai pusat industri baharu.

“Ia supaya akhirnya orang kampung dapat merasai kemanisan kemajuan, dan supaya anak-anak muda Kerian mendapat sebaik-baik peluang pekerjaan dan kemahiran. Itulah juga yang menjadi aspirasi saya dan rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri Perak,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak mengulangi komitmen kerajaan negeri bagi memastikan kelicinan terhadap perjalanan projek KIGIP itu.

Tambah beliau, sinergi baik yang wujud antara kerajaan negeri dan Persekutuan memungkinkan projek berkenaan dapat direalisasikan dalam kadar segera. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Peluncuran Pelan Induk KIGIP perlihat sinergi PM, MB Perak

KIGIP pelengkap ekosistem perindustrian di Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI