TAIPING – Sebuah kilang disyaki menjadi punca kepada pencemaran udara melibatkan gangguan habuk hitam sehingga menjejaskan kehidupan harian 500 penduduk di Taman Tekkah Permai dan Taman Tekkah Jaya dekat sini, sejak minggu lalu.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, dapatan itu hasil siasatan awal di lapangan yang dijalankan pihaknya susulan menerima lima aduan rasmi berhubung perkara itu sejak 5 Ogos lalu.
Kata beliau, kemudian pihaknya membuat pemantauan kualiti udara di beberapa lokasi menggunakan peralatan Alat Pemantauan Kualiti Udara (GRIMM) dan ‘Portable Multigas Analyzer-CEREX’ bermula 6 Ogos.
“Pemerhatian di lokasi pemantauan mendapati tiada bau, asap, habuk atau pembakaran terbuka berlaku semasa kerja-kerja pemantauan dilaksanakan.
“Namun, berdasarkan analisis data pemantauan udara antara 6 hingga 11 Ogos, didapati terdapat dua bacaan gas yang dominan iaitu asetilena dan hidrogen sianida. Dan seperti sedia maklum, gas asetilena adalah daripada proses (pembuatan) tayar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Aulong, dekat sini, pada Selasa.
Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Teh Kok Lim.
Menurut Mohammad Ezanni, sebelum itu pihaknya telah melakukan pemeriksaan sehingga ke 30 premis bagi mengenal pasti punca habuk hitam yang mengganggu penduduk.
Ujar beliau, hasil siasatan mendapati hanya satu premis sahaja yang disyaki mampu mengeluarkan zarah pencemaran itu, namun perkara itu masih dalam siasatan.
“Cerapan data tertinggi yang dicatatkan adalah 134.544 μg/m³ (mikrogram/meter padu) bagi parameter 10 mikrometer (PM10) dan 90.23 μg/m³ bagi parameter PM2.5, ia melebihi bacaan standard Kualiti Udara Ambien Malaysia.
“JAS juga telah melaksanakan pemantauan menggunakan dron di kawasan-kawasan yang berpotensi menyebabkan pencemaran dalam radius 5 kilometer (km) dari lokasi aduan,” katanya lagi.
Pada masa sama Mohammad Ezanni memberitahu, pihaknya kini sedang mengumpulkan sampel habuk hitam untuk dihantar ke Ibu Pejabat Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor, bagi analisis lanjut.
Kata beliau, setelah laporan kimia diperoleh, tindakan penguatkuasaan secara tegas bagi ketidakpatuhan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 2024 akan diambil kepada premis yang terlibat.
“Tidak kira pihak yang terlibat itu industri antarabangsa, tempatan mahupun penjaja kecil, kita akan ambil tindakan kerana masalah pencemaran ini menyebabkan kehidupan penduduk terjejas,” ujarnya lagi,
Dalam pada itu, Kok Lim, memberi jaminan bahawa siasatan dan tindakan tegas akan diambil JAS dan agensi berkaitan bagi memastikan masalah yang membelenggu penduduk setempat itu akan diselesaikan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak jamin aktiviti lombong NR-REE tidak jejas alam sekitar