Kilang e-waste haram beroperasi empat tahun tumpas, rampasan RM18 juta

GOPENG – Polis merampas pelbagai barangan bernilai RM18 juta dalam serbuan ke atas sebuah kilang haram memproses sisa elektronik (e-waste) yang beroperasi di Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini pada Isnin.

Serbuan kira-kira jam 7 pagi itu dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi operasi bersepadu Op Hazard Mega 3.0.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pemeriksaan menemukan pelbagai kelengkapan di kawasan kilang terbabit yang disyaki digunakan untuk pemprosesan e-waste secara haram.

Kilang e-waste haram beroperasi empat tahun tumpas, rampasan RM18 juta
Lambakan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) serta jentera yang dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM18 juta dalam serbuan Op Hazard di sebuah kilang haram di kawasan perindustrian Kampung Kepayang, Simpang Pulai, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 APRIL 2026.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kilang itu dipercayai beroperasi secara haram sejak empat tahun lalu dengan mendapatkan bekalan e-waste dari luar negara.

“Sisa tersebut akan dihancurkan dan diasingkan mengikut kategori logam sebelum dihantar ke kilang pelebur berhampiran untuk diproses menjadi bongkah logam.

“Seramai 26 orang lelaki dan wanita melibatkan warga Myanmar serta India berusia antara 18 hingga 49 tahun turut ditahan dalam serbuan itu,“ katanya pada sidang media di Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini pada Isnin.

Kilang e-waste haram beroperasi empat tahun tumpas, rampasan RM18 juta
Rampasan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) serta jentera di sebuah kilang haram dianggarkan bernilai RM18 juta menerusi Op Hazard di kawasan perindustrian Kampung Kepayang, Simpang Pulai, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 APRIL 2026.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan turut dirampas, kira-kira 225,000 kilogram longgokan e-waste, 800 jumbo beg sisa elektronik, pelbagai jentera pemprosesan serta sebuah tangki minyak diesel mengandungi anggaran 20,000 liter.

Katanya, kes berkenaan diserahkan kepada JAS Perak untuk siasatan di bawah Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti tanpa kelulusan pihak berkuasa, yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tambahnya, dalam masa sama, seramai 14 warga asing disiasat oleh JIM di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit sah, manakala 12 lagi disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Kilang e-waste haram beroperasi empat tahun tumpas, rampasan RM18 juta
Lambakan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) serta jentera yang dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM18 juta dalam serbuan Op Hazard di sebuah kilang haram di kawasan perindustrian Kampung Kepayang, Simpang Pulai, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 APRIL 2026.

“Kesalahan beroperasi tanpa lesen turut dirujuk kepada Majlis Bandaraya Ipoh di bawah Seksyen 3(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk tindakan lanjut,“ jelasnya.

Balveer Singh berkata, Op Hazard Mega 3.0 dijalankan secara serentak di tiga negeri iaitu Perak, Pulau Pinang dan Kedah, dikendalikan oleh Briged Utara PGA melibatkan Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara serta Batalion 1, 2, 3 dan 18 PGA.

“Selain daripada lokasi serbuan di Perak, operasi ini turut menyasarkan keseluruhan 19 premis lain, dengan pecahan tujuh lokasi di Kedah, tujuh lokasi di Pulau Pinang dan lima lokasi di Perak.

“Operasi ini melibatkan seramai 249 pegawai dan anggota pelbagai agensi, sekali gus membuktikan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan pemprosesan sisa elektronik haram yang memberi kesan buruk terhadap alam sekitar dan keselamatan negara,“ katanya. – MGPerak

Artikel Berkaitan:

11 premis e-waste haram diserbu, 5,291 metrik tan disita

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI