TANJUNG MALIM – Kilang pembuatan kenderaan elektrik (EV) canggih Proton Holdings Bhd (Proton) di Tanjung Malim bukti kerjasama erat antara Malaysia dengan China dalam industri automotif negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketersediaan China untuk memindahkan teknologi serta memberi ruang kepada anak-anak tempatan turut membantu melonjak industri automotif negara.
Beliau dalam ucapannya turut melahirkan penghargaan kepada syarikat automotif China, Geely yang merupakan rakan strategik Proton dalam menjayakan pembinaan kilang EV yang terletak di Tanjung Malim.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan China kerana dalam beberapa perjumpaan kita dengan Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri Republik Rakyat China, Premier Li Qiang termasuk dua hari lalu, kesediaan mereka untuk memberi kerjasama itu terbukti.
“Ini terbukti kerana bukan sahaja mereka mendapat hasil dari kerjasama di dalam bidang industri ini (automotif) tetapi juga ketersediaan mereka di peringkat tertentu memindahkan teknologi dan memberi ruang kepada anak-anak tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Peluncuran Kilang Kenderaan Elektrik Proton di Proton City, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Syed Faisal Albar.
Anwar berkata, meskipun Proton mempunyai pengalaman yang lama dengan syarikat-syarikat Jepun sebelum ini ia masih belum mampu melepasi harapan negara untuk menjadi pengeluar dan memperoleh kekuatan teknologi.
Perdana Menteri berkata, peluncuran kilang EV Proton di Tanjung Malim ini selari dengan dasar negara, termasuk dasar transisi tenaga, pelan induk perindustrian serta Dasar Automotif Negara (DAN).
“Bayangkan puluhan tahun sejak 80-an, kita masih tidak mampu mengangkat keupayaan teknologi kita dan hanya sekarang, Proton dan rakan-rakan dari Geely berjaya memecahkan rekod itu.
“Kejayaan ini bukan hanya untuk syarikat, tetapi lambang kemampuan anak muda, jurutera dan profesional tempatan yang berjaya melonjakkan industri automotif negara,” katanya.
Untuk rekod Kilang EV Proton di Tanjung Malim dianggarkan berkeluasan lebih 2.2 hektar dengan kos pembinaan mencecah hampir RM80 juta mengikut fasa dan kapasiti ribuan unit kenderaan setahun.
Kilang itu juga mengeluarkan EV pertama Proton iaitu e.MAS 7 dan dijangka mengeluarkan model kedua iaitu e.MAS 5.
Zhejiang Geely Holding Group memiliki 49.9 peratus kepentingan di dalam Proton manakala selebihnya milik Konglomerat DRB-Hicom Berhad. -MG Perak