PGA serbu kilang proses kaolin secara haram, nilai rampasan RM20 juta

IPOH – Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah kilang yang disyaki memproses mineral jenis kaolin secara haram di Simpang Pulai di sini, pada Isnin dengan rampasan melibatkan nilai RM20.88 juta.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, operasi khas dikenali sebagai Op Bersepadu Khazanah itu dijalankan bersama Cawangan Risik Batalion 1 PGA dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Menurutnya, dalam operasi tersebut pihaknya berjaya merampas 354 tan mineral kaolin telah siap diproses berkualiti tinggi, 17,000 kepingan mineral sama serta 95 tan longgokan mineral kaolin yang siap diproses.

Kata beliau lagi, juga dirampas pelbagai mesin memproses, jentera serta 50 tan longgokan tanah liat putih jenis kaolin yang belum diproses.

“Dalam operasi tersebut, pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 70an, dan seorang lagi lelaki warga Myanmar berusia 30an.

“Mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses bahan mineral jenis kaolin secara haram iaitu tanpa sebarang kelulusan dari pihak berkuasa,” katanya di sini, pada Selasa.

kilang kaolin haram Ipoh diserbu PGA serbuan PGA Perak, rampasan kaolin RM20 juta, kilang haram Simpang Pulai, pemprosesan mineral kaolin, operasi Op Bersepadu Khazanah
Antara bahan mineral dipercayai kaolin yang terdapat di kilang yang memproses mineral itu secara haram di Simpang Pulai, Ipoh

Balveer Singh berkata, semasa serbuan dijalankan, pihaknya mendapati kilang tersebut menjalankan kegiatan beberapa peringkat memproses mineral kaolin.

Beliau berkata, ia melibatkan proses seperti penghancuran, pencampuran dengan air, penapisan, pemisahan kekotoran, pemekatan, penapisan tekanan, pengeringan dan pengisaran, sehingga menghasilkan galian kaolin yang berkualiti tinggi.

“Kilang ini dikesan menjalankan aktiviti pemprosesan tanah putih campuran dengan menapis, mencuci, memampatkan serta mengasingkan mineral kepada pasir dan kaolin tulen bagi meningkatkan kualitinya.

“Kaolin yang diproses kemudiannya dijual sebagai produk gred tinggi pada harga lebih tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Susulan itu, pihak berkuasa telah menjalankan operasi dan berjaya membuat beberapa tangkapan serta rampasan,” tambahnya.

Menurut Balveer Singh, kes disiasat oleh JMG Perak di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Perlesenan) 2016 serta Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua duanya.

Ujar beliau lagi, seorang lelaki warganegara tempatan merupakan pekerja kilang berkenaan yang berperanan sebagai pemandu jentera berat telah ditahan dan dirujuk kepada pihak JMG untuk tindakan lanjut.

“Sementara seorang pekerja warga asing yang ditahan di kilang tersebut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Ia membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan sehingga enam kali sebatan,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PGA serbu premis proses sisa plastik, rampasan lebih RM5 juta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI