Kilang muruku guna logo halal tamat tempoh sejak 2017

TAIPING – Sebuah kilang memproses muruku di Taman Pengkalan Maju, di sini, di dapati menggunakan logo halal tidak sah sejak 2017 bagi tujuan perdagangan ke atas produk jualan tersebut.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan yang dijalankan pihaknya jam 11 pagi pada Isnin telah menjumpai sejumlah produk makanan ringan yang telah ditandakan dengan logo halal tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sijil pengesahan halal untuk produk dikeluarkan premis itu telah tamat tempoh pada 17 Mei 2017.

“Logo halal pada enam jenis produk muruku yang dikeluarkan adalah untuk edaran jualan sekitar utara Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kamalludin berkata, sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan bertindak menyita kesemua 1580 unit produk makanan tersebut.

Tambah beliau, nilai keseluruhan barang rampasan yang menggunakan logo halal tidak sah itu dianggarkan berjumlah RM 8,128.40.

“Kes disiasat di bawah Perintah 8(a),Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu adalah halal.

“Jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM500,000, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM1 juta.

“Manakala jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Kamalludin menegaskan, KPDN memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI