TAIPING – Sebuah kilang memproses biskut di Taiping diserbu penguat kuasa, semalam selepas didapati menggunakan logo halal yang tidak sah.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya telah menyita kesemua biskut yang dianggarkan bernilai RM3,169.60.
Menurutnya, serbuan yang dijalankan pihaknya jam 10 pagi pada Khamis telah menjumpai bungkusan produk biskut yang telah ditandakan dengan logo halal tidak sah untuk tujuan perdagangan.
“Hasil serbuan mendapati logo halal pada bungkusan produk yang dikeluarkan kilang biskut berkenaan untuk edaran jualan sekitar utara Semenanjung Malaysia.
“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan bertindak menyita biskut yang menggunakan logo halal yang tidak sah,”katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelasnya, hukuman denda tidak melebihi RM500,000 boleh dikenakan ke atas syarikat terlibat jika sabit kesalahan manakala bagi individu pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Tambah Kamalludin, pemeriksaan lanjut mendapati pemilik premis gagal mengemukan sebarang permit penyimpanan barang kawalan yang diperakuan oleh pihak berkuasa dan memiliki barang kawalan iaitu minyak masak, gula dan tepung gandum.
“Kami menyita 323 kg minyak masak, 900 kg gula pasir putih bertapis dan 550 kg tepung gandum berserta beberapa dokumen berkaitan yang dianggarkan berjumlah RM 7,061.00.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, jika disabitkan kesalahan didenda tidak melebihi RM 2,000,000.00 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM
5,000,000.00.
Sementara itu, Kamalludin menegaskan pihaknya memandang serius tindakan peniaga menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011. – MG Perak.