IPOH – Lima buah kilang di Taman Song Choon, Simpang Pulai, dekat sini, hampir musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran yang berlaku awal pagi Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.44 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu, seramai 38 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Pasir Puteh, Ipoh dan Gopeng digerakkan ke lokasi bagi kerja-kerja pemadaman.
Menurut beliau, operasi turut dibantu oleh 15 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru dan PBS Menglembu.
“Pasukan bomba yang berada di lokasi mendapati tiga kilang memproses peralatan sembahyang masing-masing terbakar sehingga 70 peratus.
“Sementara itu, dua lagi kilang iaitu kilang memproses bahan kimia cat dan kilang memproses teh herba terjejas sebanyak 80 peratus.
“Walau bagaimanapun kejadian tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sabarodzi berkata, kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan air dari pili bomba berhampiran.
Tambah beliau, operasi yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Muhammad Izzat Ismail, berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.10 pagi.
Kerja-kerja ‘overhaul’ atau pemulihan kebakaran masih diteruskan, manakala punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kebakaran kecil dapur Kantin Hospital Teluk Intan berjaya dikawal