KIR miskin tegar di Perak turun 58 peratus tahun lalu

IPOH – Jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar di Negeri Perak mencatatkan penurunan sebanyak 58 peratus tahun lalu, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut Saarani, ia merekodkan seramai 3,911 orang KIR yang berada dalam kategori miskin tegar pada 31 Disember 2023 berbanding 9,402 orang pada Januari tahun sama.

“Saya turut dimaklumkan berkenaan pelaksanaan Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial oleh Pejabat Pembangunan Negeri (ICU), yang menyatukan semua agensi pemberi bantuan di bawah satu platform.

“Program ini juga banyak membantu mempermudah golongan miskin tegar dalam mendapatkan bantuan yang mereka perlukan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Saarani berkongsi, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak (MTPNg) bersama ketua jabatan Negeri dan Persekutuan pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata, MPTNg bertujuan mengukuhkan pemantauan pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di Perak supaya berjalan mengikut garis masa yang ditetapkan.

“Antara yang dibincangkan termasuk perkembangan terkini Projek Persekutuan di bawah Rolling Plan 4 (RP4) RMKe-12 di negeri Perak tahun ini yang membabitkan 422 program dan projek pembangunan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.55 bilion.

“Fokus utama kami terarah kepada pelaksanaan 359 projek fizikal dengan peruntukan sejumlah RM1.28 bilion atau 83 peratus dari keseluruhan peruntukan.

“Ini termasuk projek-projek utama seperti pembekalan kelengkapan, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembelian bangunan, pembinaan baru, penyenggaraan, serta perolehan tanah,” katanya.

Saarani turut memaklumkan Negeri Perak telah menyempurnakan penambahbaikan keperluan pelajar melalui projek peningkatan dan penyelenggaraan kecil melibatkan 795 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun lalu dengan peruntukan sejumlah RM55.65 juta.

“Selain itu, projek-projek pembangunan yang telah selesai pada 2023 adalah pembinaan Jambatan Bagan Datuk, Daerah Hilir Perak Ke Kampung Sejagop, Daerah Perak Tengah, Perak; pembinaan Politeknik Bagan Datoh, Perak.

“Turut selesai pembinaan asrama, dewan makan, surau, padang dan lain-lain kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong, Sungai Siput, Perak dan kerja naik taraf Galeri Pangkor dan kemudahan pelancongan di Dataran Nelayan Pulau Pangkor, Perak,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

KIR miskin tegar di Perak turun 51 peratus

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI