Kisah ‘Abang Pistachio’, dari kerjaya perubatan ke dunia makanan

BERMULA dengan perniagaan bakeri kecil-kecilan dari rumah ketika pandemik COVID-19, pasangan suami isteri ini terus mengorak langkah dengan mengukuhkan jenama mereka dalam dunia keusahawanan makanan di Perak.

Muhammad Azani Ehsan Abdul Rashid, 33, atau lebih dikenali sebagai Abang Pistachio, bersama isteri, Nurul Huda Karim, 33, adalah pengasas kepada jenama The Gaps dan Hooney pengeluar produk sapuan pistachio, ‘cookies crumble’ dan ‘cookies spread’ yang bernaung di bawah syarikat milik mereka, NHK Food Manufacturing Sdn Bhd.

Menariknya, pasangan ini bukan datang daripada latar belakang perniagaan, Muhammad Azani Ehsan adalah bekas Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh manakala isterinya adalah bekas jurutera operasi kilang.

Berkat minat, keberanian dan kreativiti, mereka berjaya menukar cabaran pandemik menjadi peluang keemasan yang kini membuka pintu perniagaan ke pasaran antarabangsa.

Jenama yang diasaskan mereka, The Gaps, mula dikenali sejak tahun 2020 apabila produk pertama keluaran mereka, Speculita Speculoos Cookies Crumble mendapat sambutan luar biasa semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kisah 'Abang Pistachio', dari kerjaya perubatan ke dunia makanan
Muhammad Azani Ehsan Abdul Rashid, 33, atau lebih dikenali sebagai Abang Pistachio menunjukkan kacang pistachio yang telah dikisar dan dibakar sebagai bahan utama dalam penghasilan produk sapuan pistachio ketika ditemui MG Perak di Kawasan Perindustrian Klebang Bistari, Chemor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 NOVEMBER 2025.

Bermodalkan hanya RM400

Muhammad Azani Ehsan berkata, pada mulanya mereka menjalankan perniagaan bakeri secara kecil-kecilan dari rumah dengan menghasilkan kek, biskut dan pecuci mulut (dessert) hanya bermodalkan RM400.

“Waktu PKP produk ‘Biscoff’ daripada Eropah sangat laris namun tiada stok. Jadi, kami ambil inisiatif buat inovasi dengan membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri berbulan-bulan untuk menghasilkan biskut ‘crumble’ dengan rasa kulit kayu manis dan karamel, dinamakan Speculita Speculoos Cookies Crumble.

“Daripada biskut itu, kami menghasilkan Speculoos Cookies Spread, sapuan dengan rasa seakan-akan produk Belgium, tetapi 100 peratus buatan tempatan dan ia mula dijual di platform Shopee sebelum berkembang ke pasaran lebih luas.

“Dari situ kami lahirkan jenama The Gaps. Maksudnya, kami cari ruang dan peluang dalam pasaran, sebab waktu itu ada kekurangan stok produk luar dan kami isi ‘gaps’ itu dengan produk tempatan sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual Malaysia Gazette (MG) Perak di kilangnya di Kawasan Perindustrian Klebang Bistari, Chemor di sini pada Selasa.

Kisah 'Abang Pistachio', dari kerjaya perubatan ke dunia makanan
Pekerja NHK Food Manufacturing Sdn Bhd menjalankan kerja-kerja penghasilan sapuan pistachio dan biskut crumble di kilang mereka yang terletak di Kawasan Perindustrian Klebang Bistari, Chemor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 NOVEMBER 2025.

Juara MasterChef Malaysia pertama antara pelanggan utama

Bapa kepada dua cahaya mata perempuan itu berkata, selepas kejayaan produk pertama, mereka mula menghasilkan produk Greeny Pistachio Spread yang turut mendapat sambutan luar biasa.

“Greeny Pistachio Spread ini kebetulan datang daripada idea pengusaha yogurt beku dari Kelantan, Froogurtz. Mereka guna biskut kami sebagai ‘topping‘ aiskrim dan minta kami hasilkan sapuan pistachio. Jadi kami R&D sendiri sampai dapat rasa dan tekstur yang diinginkan.

“Alhamdulillah, sudah empat tahun kami membekalkan produk tersebut kepada Froogurtz dan cawangannya di sekitar Pantai Timur, Lembah Klang, Seremban dan Perak.

“Produk tersebut juga digunakan secara meluas oleh Yomaro Frozen Yogurt, jenama dari Jerman yang mempunyai beberapa cawangan antaranya TRX (Tun Razak Exchange), pusat membeli belah 1 Utama dan Lot 10 di Kuala Lumpur.

“Selain itu, kafe Pastrybella Bakeshop milik juara MasterChef Malaysia musim pertama, Dr Ezani Farhana Md Monoto turut menggunakan produk kami untuk ’topping’ kek dan minuman. Kami juga membekalkan kacang pistachio premium dari Iran dan matcha dari Jepun,” ujarnya.

Kisah 'Abang Pistachio', dari kerjaya perubatan ke dunia makanan
Pekerja NHK Food Manufacturing Sdn Bhd menjalankan proses pelabelan dan pembungkusan produk bagi memenuhi permintaan pelanggan secara dalam talian ketika ditemui MG Perak di Kawasan Perindustrian Klebang Bistari, Chemor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 NOVEMBER 2025.

Bina produk makanan kesihatan

Dalam pada itu, beliau berkata, mereka turut menekankan kualiti kesihatan dalam produk mereka dengan mengurangkan tahap kemanisan.

“Kami menjaga kualiti dengan mengurangkan kemanisan dan memasukkan kandungan pistachio yang tinggi dalam produk.

“Produk terbaharu kami juga tidak menggunakan gula putih. Sebab saya orang kesihatan sebelum ini, jadi saya fokus untuk cari peluang, menghasilkan makanan yang lebih sihat walaupun dessert.

Kisah 'Abang Pistachio', dari kerjaya perubatan ke dunia makanan
Pekerja NHK Food Manufacturing Sdn Bhd menjalankan kerja-kerja penghasilan sapuan pistachio dan biskut crumble di kilang mereka yang terletak di Kawasan Perindustrian Klebang Bistari, Chemor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 NOVEMBER 2025.

“Sebab itu, antara satu impian saya adalah untuk membina satu produk makanan kesihatan. Makanan yang macam dessert tapi lebih pada kesihatan,” tambahnya.

Berjaya peroleh sijil halal, dapat kerjasama agensi kerajaan

Menyentuh perjalanannya untuk mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), beliau telah diperkenalkan dengan Halal2u, sebuah program di bawah Maybank yang menyediakan fasilitator halal tanpa sebarang kos.

“Menerusi bimbingan daripada Halal2u serta dokumen yang lengkap, kami dibawa ke Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk memohon sijil halal. Proses memang mudah dan dalam tempoh tiga bulan permohonan kami diluluskan.

Kisah 'Abang Pistachio', dari kerjaya perubatan ke dunia makanan
Muhammad Azani Ehsan Abdul Rashid, 33, atau lebih dikenali sebagai Abang Pistachio menunjukkan sijil pengesahan halal yang diperakui oleh JAKIM ketika temubual bersama MG Perak di Kawasan Perindustrian Klebang Bistari, Chemor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 NOVEMBER 2025.

“Mereka turut menghubungkan kami dengan NCER (Wilayah Ekonomi Koridor Utara), yang membuka peluang kepada kami untuk menyertai pameran halal terbesar dunia, MIHAS (Pameran Halal Antarabangsa), di MITEC (Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia) pada September lalu.

“Daripada penyertaan di MIHAS, kami memperoleh peluang untuk bekerjasama dengan MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan menyertai program SteP (Sekretariat Usahawan Negeri Perak), yang seterusnya membuka pelbagai jaringan serta peluang baharu bagi mengembangkan perniagaan ini.

“Kami juga mendapat peluang OEM (pengilang peralatan asal) produk ke Singapura, Brunei dan Thailand,“ jelasnya.

Tambahnya, mereka juga sedang dalam proses mendapatkan kerjasama daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk memperluaskan pasaran dan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

Kisah 'Abang Pistachio', dari kerjaya perubatan ke dunia makanan
Muhammad Azani Ehsan Abdul Rashid, 33, atau lebih dikenali sebagai Abang Pistachio meneliti stok produk sapuan pistachio ketika ditemui MG Perak di Kawasan Perindustrian Klebang Bistari, Chemor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 NOVEMBER 2025.

Sabar dan bijak menguruskan modal

Ketika diminta memberi nasihat kepada anak muda yang ingin menceburi bidang perniagaan, Muhammad Azani Ehsan menegaskan pentingnya minat, kesabaran dan kebijaksanaan menguruskan modal.

“Kena tahu minat dulu supaya tidak cepat bosan. Selepas itu, jangan buat pinjaman lagi, cuba dulu dengan modal kecil, tengok boleh sustain (bertahan) atau tidak serta dekatkan diri dengan agensi kerajaan, sebab mereka banyak bantu untuk mengembangkan perniagaan,“ katanya.

Menerusi persona Abang Pistachio yang semakin dikenali di platform TikTok, pasangan ini kini menjadi sumber inspirasi kepada usahawan muda tempatan, membuktikan bahawa keberanian untuk ‘bertukar angin‘ mampu membuka peluang kejayaan yang lebih luas. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Replika makanan dari tepung jagung: Hasil kreativiti, sumber rezeki Rifasyariah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI