IPOH – Teater Bangsawan Diraja Beting Beras Basah karya Datin Shahnoor Zahurin Mohd Haslan Myudin bakal membawa kelainan dengan gabungan klasik dan moden buat penonton di Perak dan Melaka.
Persembahan yang mengambil inspirasi daripada kejadian berlaku hampir 500 tahun lalu di lokasi Beting Beras Basah Bagan Datuk itu, bakal menceritakan kisah bagaimana Raja Mudzaffar diangkat menjadi sultan pertama Perak.
Pementasan Teater Bangsawan Diraja Beting Beras Basah itu akan berlangsung selama tiga hari dari 26 hingga 28 September di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri (JKKN) Perak serta pada 10 dan 11 Oktober depan di Auditorium JKKN Melaka.
Shahnoor Zahurin atau lebih dikenali sebagai Anne Zahurin berkata, pementasan teater bangsawan Diraja tersebut bakal menampilkan pembaharuan dari segi teknologi.
Katanya, ia bertujuan menarik lebih ramai golongan muda untuk menonton persembahan tersebut disamping memartabatkan teater bangsawan.
“Jadi kita hendak mengangkat atau memartabatkjan tetaer bangsawan ini melalui salah satu sejarah Negeri Perak yang mana orang kata tidak ramai masyarakat mengetahuinya.
“Maka saya ambil inisiatif untuk mengetengahkan pementasan teater Beting Beras Basah ini dengan menampilkan pembaharuan dari segi konsep dan gaya lakonan di mana kita buatkan gaya ala Broadway tapi cara Melayu.
“Kita juga adakan pembaharuan yang lebih dinamik dengan menggunakan teknologi moden yang kita gunakan,” katanya di sini, baru-baru ini.
Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Bangsawan Warisan Moraza Negeri Perak berkata, pementasan Teater Bangsawan Diraja Beting Beras Basah itu bakal menceritakan hampir keseluruhan peristiwa bagaimana Raja Mudzaffar diangkat menjadi sultan pertama negeri Perak
“Diharapkan kisah ini membantu masyarakat daripada pelbagai lapisan mengetahui tentang warisan sejarah kesultanan. Kira-kira 95 peratus kandungan yang dipersembahkan adalah mengikuti kejadian sebenar,” katanya.
Jelasnya, kira-kira 30 orang barisan pelakon akan terlibat dalam pementasan itu termasuk Reza Hasbi selaku watak utama untuk memainkan peranan sebagai Sultan Mudzaffar Shah.
Berdurasi lebih 1 jam 45 minit Teater Bangsawan Diraja Beting Beras Basah boleh ditonton dengan pas masuk berharga RM35, manakala pelajar IPT dikenakan bayaran RM20 dan pelajar sekolah menengah serta rendah RM15. -MG Perak