IPOH – Kerajaan Negeri Perak dijangka akan membentangkan pada November depan Belanjawan Negeri 2025 defisit sebagai langkah pengurusan kewangan negeri yang lebih baik.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, belanjawan defisit bukan bermakna kelemahan sebaliknya ia menunjukkan langkah kerajaan negeri berbelanja dalam ruang lingkup kemampuan.
“Kita punya hasrat adalah kita tidak mahu mewariskan hutang kepada generasi akan datang.
“Belanjawan yang dibentangkan sebelum ini defisit RM67 juta. Pada hujung tahun ini saya yakin kita akan mencapai surplus, dan pada erti lain, kita tidak berhutang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Ngopi Siswa Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Bersama Cikgu Saarani Serta Penyerahan Wakalah Anak Syarikat Yayasan Perak di Miker Avenue, Silveritage, Medan Gopeng, dekat sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah serta Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan.
Tambah Saarani, belanjawan defisit juga akan membantu meningkatkan lagi produktiviti kerja kakitanga kerajaan negeri khsusnya yang terlibat dengan pungutan cukai.
“Apabila mereka tengok belanjawan defisit, maka mereka akan bekerja lebih keras tahun hadapan untuk memastikan ia surplus. Secara tidak langsung, perkara ini akan jadi motivasi bagi mendapatkan pendapatan yang lebih baik,” katanya lagi.
Terdahulu, pada program Saarani menyempurnakan penyampaian bantuan wakalah Anak Syarikat Yayasan Perak, YP Nominees Holdings Sdn Bhd sebanyak RM500 setiap seorang kepada 100 mahasiswa USAS dan UPSI.
Turut diraikan 10 penerima Insentif Siswa Yayasan Perak yang merupakan pelajar-pelajar di peringkat Sijil sehingga Ijazah Sarjana Muda.
Ketika berucap, Nasreen Khanum memberitahu, Yayasan Perak telah meluluskan penyerahan bantuan sebanyak RM3.36 juta kepada 4,556 penerima manfaat pada tahun ini sehingga September.
“Saya berharap agar peruntukan Insentif Siswa Yayasan Perak pada tahun 2025 dapat dinaikkan berbanding RM6.0 juta pada tahun 2024.
“Ia supaya lebih banyak lagi anak-anak Perak yang melanjutkan pelajaran ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dapat menerima manfaat ini,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: