KJ gesa kerajaan boikot Hari Kemerdekaan AS

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya kerajaan tidak menghantar menteri atau wakil untuk meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan Amerika Syarikat ke-248 yang dijadual berlangsung di kedutaan negara tersebut di Kuala Lumpur.

Bekas menteri Kabinet Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menggesa mereka yang telah diundang oleh Kedutaan Amerika Syarikat ke majlis tersebut pada 10 Jun ini supaya tidak berbuat demikian.

“Anwar Ibrahim, jangan hantar menteri ke majlis ini. Rakyat Malaysia yang turut diundang juga tidak seharusnya berbuat demikian,” kata Khairy Jamaluddin dalam perkongsian di Insta Story.

Gesaan itu dipercayai dibuat berkaitan perkembangan terbaharu kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin dan serangan yang dilancarkan oleh rejim zionis ke atas Rafah iaitu satu-satunya kawasan yang dikatakan selamat di Gaza sebelum ini.

Dalam perkongsian lain, Khairy Jamaluddin turut mengkritik kenyataan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang hanya meminta Israel untuk melindungi penduduk ketika menyerang Rafah.

“Dengar sini @usembassykl (Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur), ini (kenyataan Biden) tidak cukup bagus. Paling minimum adalah hentikan penghantaran peralatan ketenteraan kepada Satanyahu (Presiden Israel Benjamin Netanyahu). Sekarang!” kata Khairy Jamaluddin.

Israel menyerang Rafah bermula Ahad lalu yang menjadi tumpuan 1.8 juta pelarian daripada seluruh Gaza.

Israel sebelum ini mengatakan Rafah adalah kawasan selamat selepas mengarahkan penduduk dari utara, tengah dan selatan Gaza untuk ‘berpindah’ bagi menyerang dan memusnahkan kawasan berkenaan.

Pejabat media kerajaan yang dikendalikan Hamas di Gaza sebelum ini berkata, serangan Israel di Rafah mengenai pusat yang dikendalikan oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin dan melabelkannya sebagai “pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan.”

Media sebelum ini melaporkan Amerika Syarikat telah meluluskan bantuan berbilion dolar kepada Israel termasuk bagi membeli senjata dan bom yang telah digunakan ke atas penduduk Palestin di Gaza.

Serangan Israel telah menyebabkan hampir 36,000 jiwa di Gaza maut kebanyakan adalah bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua selain golongan profesional seperti doktor, wartawan dan pensyarah.

Israel turut memusnahkan hospital, universiti, sekolah, pusat perlindungan, rumah, masjid, gereja dan pelbagai infrastuktur lain di Gaza.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI