KKM digesa atasi kekurangan petugas, elak kerah kerja lebih masa – CUEPACS

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuhkan mobilisasi sumber tenaga bagi mengelakkan berlakunya kekurangan petugas yang kritikal di fasiliti tertentu.

Presidennya Datuk Dr Adnan Mat berkata, kementerian tersebut harus menyelesaikan masalah kekurangan petugas dengan segera kerana ia boleh menjejaskan kelancaran penyampaian perkhidmatan.

Menurutnya, usaha mempercepatkan pengisian kekosongan jawatan perlu dilakukan segera supaya petugas kesihatan tidak dikerah bekerja lebih masa demi menampung kekurangan yang dialami fasiliti tertentu.

“Walaupun jabatan kesihatan negeri memberi jaminan untuk mempertimbangkan sebarang permohonan mendapatkan cuti bersalin tambahan secara bersendiri, CUEPACS bimbang wujudnya elemen pemaksaan terhadap pegawai awam terbabit.

“Ini kerana kelulusan tersebut adalah tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan dan pertimbangan ketua jabatan yang bersifat subjektif,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, beliau meluahkan kekesalan mengenai laporan berlakunya kekurangan petugas kesihatan di Selangor hingga mengakibatkan cuti bersalin pegawai perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat terpaksa dihadkan kepada 60 hari.

Menurut Adnan, perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku sekiranya masalah kekurangan petugas diberi perhatian yang sewajarnya daripada awal.

“Daripada segi undang-undang perkara itu memang tidak menyalahi peraturan sedia ada, tetapi daripada sudut kebajikan kita sebenarnya telah menidakkan hak pekerja tersebut,” katanya lagi.

Tegas beliau, isu kebajikan petugas kesihatan tidak sepatutnya diabaikan demi memastikan perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa.

Baru-baru ini media melaporkan, PKD Hulu Langat menetapkan cuti bersalin selama 60 hari bagi pegawai perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan (KK) daerah itu sejak 27 Jun lepas berikutan kekurangan pegawai perubatan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI