KKR kenal pasti 3,000 cerun berisiko

IPOH – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengenal pasti 3,000 kawasan cerun berisiko di sepanjang laluan Jalan Persekutuan di aeluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 27,000 cerun di kawasan berkenaan yang telah siap dibuat pemetaan.

Menurutnya, pemantauan serta penyelenggaraan cerun-cerun berisiko itu dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan tidak bertambah buruk.

“JKR (Jabatan Kerja Raya) membuat pemantauan cerun menerusi Sistem Pengurusan Cerun Bersepadu (ISMAS).

“Cawangan kejuruteraan cerun JKR Ibu Pejabat itu sentiasa memantau menggunakan teknologi terkini di mana  kita perhatikan pergerakan tanahnya menggunakan sistem monitoring (pemantauan) yang tepat.

“Kita juga meletakkan Sistem Amaran Awal (EWS) tempat-tempat yang kita rasa akan berlaku tanah runtuh,” katanya.

KKR kenal pasti 3,000 cerun berisiko
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika melakukan tinjauan Projek Pembaikan Cerun dan Membaik Pulih jalan persekutuan FT185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai- Blue Valley, di sini pada Jumaat. Foto Rosdalilah Zahari

Beliau berkata demikian kepada media pada tinjauan Projek Pembaikan Cerun dan Membaik Pulih jalan persekutuan FT185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai- Blue Valley, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, berhubung perkembangan projek pembaikan cerun dan membaik pulih jalan persekutuan FT185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai- Blue Valley, Ahmad berkata, kemajuan projek sudah lebih awal daripada yang dijadualkan.

Katajya, kerja – kerja pembaikan cerun telah dimulakan pada 1 Julai 2022 dan dijangka siap pada Disember 2025. Sehingga 25 September lalu, kemajuan kerja fizikal di tapak telah mencapai 33.31 peratus.

“Secara ringkasnya, skop kerja yang terlibat bagi projek ini adalah kerja ukur tanah, siasatan tanah, kerja-kerja pengukuhan cerun menggunakan contiguous bored pile wall with anchor dan rockfill, kerja-kerja sistem perparitan, kerja-kerja pencegahan dan amaran awal tanah runtuh.

“Keseluruhan kos bagi pelaksanaan projek ini adalah bernilai RM122 juta,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad berkata, KKR hari ini melancarkan penyediaan Garis Panduan Pemetaan dan Penilaian Bahaya Cerun iaitu dokumen rujukan dan panduan am sebagai asas lengkap dalam membuat kerja pemetaan dan menjalankan penilaian ke atas kawasan cerun bagi mengenal pasti tahap bahaya serta risiko, untuk menjadi rujukan semua pihak.

Beliau berkata, garis panduan itu disediakan sebagai salah satu pelan tindakan yang ditetapkan di bawah teras strategik Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) iaitu salah satu kerangka teras strategik yang digariskan salam Pelan Induk Cerun Negara (PICN) 2009-2023.

“Garis panduan itu disediakan sebagai asas lengkap pemetaan berdasarkan kawasan (Area Based) yang dihasilkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan pemetaan secara linear (Linear Based Mapping) yang dihasilkan oleh JKR.

“Kedua-dua garis panduan ini akan mejadi rujukan kepada semua kementerian/ jabatan/ agensi kerajaan persekutuan, badan berkanun persekutuan dan negeri, serta pihak berkuasa tempatan (PBT), tertakluk kepada penerimaan oleh pihak-pihak berkuasa berkenaan,” ujarnya. – MG Perak.

Artikel Berkaitan:

KKR mohon peruntukan RM20 juta bina R&R di LTU

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI