Klinik Kesihatan Manjoi bertingkat pertama dalam negara

IPOH – Kementerian Kesihatan (KKM), sedang membangunkan Klinik Kesihatan Manjoi sebagai klinik kesihatan yang dibina secara bertingkat atau memiliki struktur tinggi pertama di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Klinik Kesihatan Jenis 2 yang dibina lima tingkat itu menelan belanja RM26 juta bagi pembinaannya dan ia mampu menampung maksimum seramai 800 pesakit sehari.

Katanya, kawasan sempit menjadi antara faktor kepada cadangan terhadap pembinaan Klinik Kesihatan Manjoi seumpama itu yang dijangka siap pada antara pertengahan sehingga suku akhir tahun 2025.

“Kita juga sedang mempertimbangkan untuk turut membangunkan tempat letak kereta atau parkir bertingkat bagi klinik kesihatan ini sebagaimana di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

“Mengikut perancangan awal, ia akan menempatkan 600 ruangan lot parkir sebagai menyelesaikan masalah kekurangan parkir sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bersempena dengan lawatan kerjanya ke Klinik Kesihatan Chemor, dekat sini, pada Selasa.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Sirajuddin Hashim.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata secara keseluruhan, Negeri Perak menerima peruntukkan RM212.42 juta di bawah Belanja Pembangunan (DE) KKM bagi tahun ini yang mana ia meliputi 17 projek baharu dan 13 projek sambungan.

Mengulas tentang Klinik Kesihatan Chemor, beliau berkata, KKM turut memasukkan cadangan pembinaan di tapak baharu Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) untuk tahun 2025 bagi menggantikan bangunan klinik sedia ada.

Dr Dzulkefly juga mengumumkan peruntukan RM250,000 kepada klinik kesihatan itu yang membabitkan peruntukan RM100,000 untuk menaiktaraf tandas serta RM150,000 bagi pembelian peralatan.

“Klinik Kesihatan Chemor sedia ada ini sudah sesak dengan hampir 800 kunjungan pelanggan sehari. Jadi sudah pasti ia memerlukan suatu perancangan baharu,” katanya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

KKM lulus peruntukan RM1.2 juta untuk katil baharu HRPB

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI