IPOH – Pegawai Kanan VAT 69 Komando, Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin yang meninggal dunia ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, Semporna, pada Khamis sempat memindahkan wang belanja kepada anak sulungnya sehari sebelum kejadian.
Zhairif Iman, 19, berkata, kali terakhir dia menghubungi bapanya adalah pada Rabu malam bagi meminta duit belanja persekolahan memandangkan dia sedang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Kali terakhir saya berhubung dengan ayah pada kelmarin, Rabu malam, memandangkan esoknya (Khamis) saya ada peperiksaan kemudian ayah tanya nak duit belanja ke? Lalu saya kata tidak mengapa.
“Kemudian selepas itu saya lihat ayah hantar resit dia pindahkan wang RM50 untuk belanja saya menduduki peperiksaan dan itulah wang terakhir pemberian arwah hingga saya tidak tahu mahu cakap macam mana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengebumian arwah bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek Tanjung Rambutan di Kampung Bakar Bata, di sini, pada Jumaat.
Menurut Zharif Iman, usai menduduki peperiksaan kertas Bahasa Melayu dia dimaklumkan bapanya berada dalam keadaan kritikal namun ibu saudara dan gurunya menyuruh dia menduduki peperiksaan kertas Pengajian Am terlebih dahulu.
“Sebelum mula peperiksaan ibu saudara beritahu ayah sudah meninggal dunia dan saya tidak kuat untuk meneruskan peperiksaan tetapi cikgu, kawan-kawan beri semangat dan Alhamdulillah saya teruskan juga peperiksaan,” katanya.
Ditanya sama ada bapanya ada meninggal pesanan atau nasihat sebelum ini, abang kepada Zhakil Iman, 18 dan Merli Dhiya, 11, berkata, ayahnya pernah menitipkan pesanan agar menjaga ibu serta dua adiknya itu.
Tambahnya, kata-kata itu kini terpahat di ingatan dan sanubarinya ekoran ia merupakan kenangan terakhirnya bersama arwah ketika mereka berdua menaiki kereta.

“Hanya saya dan ayah sahaja dalam kereta ketika itu, dia banyak beri nasihat untuk saya antaranya untuk tengok-tengokkan adik, jaga ibu dan jaga keluarga.
“Ayah memang sentiasa menasihati saya, sebagai anak sulung saya kini memikul tanggungjawab untuk menjaga keluarga,” katanya.
Zharif Iman turut berkongsi hasratnya untuk meneruskan perjuangan bapanya dalam pasukan beruniform dan memilih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai laluan kerjaya pada masa akan datang.
“Ayah ada cakap, kalau nak masuk TUDM, mental saya perlu kuat dan berani. Saya memang nak sangat bawa helikopter dan mahu tunjuk pada ayah, tapi impian itu tidak kesampaian,” katanya.

Terdahulu Allahyarham Khairil Azhar Kamaruddin selamat dikebumikan pada jam 6.10 petang, di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek Tanjung Rambutan di Kampung Bakar Bata di sini.
Allahyarham Khairul Azhar Terdahulu, media melaporkan Khairil Azhar, 40-an, tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking dalam kejadian sekitar jam 10.25 pagi, pada Khamis.
Allahyarham ketika itu sedang mengikuti latihan menyelam di kawasan perairan berhampiran Pos Gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Allahyarham Khairul Azhar meninggalkan seorang balu, Sarjan Merli Zaifa Abdul Sani, 44, dan tiga orang anak iaitu Zharif Iman, Zhakil Iman, 18, dan Merli Dhiya, 11. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: Komando Meninggal Dunia Ketika Latihan Menyelam Selamat Dikebumikan


