IPOH – Jenazah Pegawai Kanan VAT 69 Komando, Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin yang meninggal dunia ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, Semporna, selamat dikebumikan pada jam 6.10 petang, di sini pada Jumaat
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek Tanjung Rambutan di Kampung Bakar Bata, di sini.
Terdahulu jenazah Khairil Azhar Selamat tiba di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di sini kira-kira jam 3.20 menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis C130 dari Lapangan Terbang Tawau, Sabah.

Jenazah kemudiannya disolatkan kira-kira 500 jemaah yang diimamkan anak lelaki arwah di Masjid Saidina Abu Bakar Bridged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira jam 5.20 petang.
Suasana pilu memenuhi segenap ruang Masjid Saidina Abu Bakar apabila ahli keluarga dibenarkan menatap dan memberi penghormatan terakhir kepada arwah sebelum jenazah disembahyangkan.
Jenazah kemudiannya tiba di tanah perkuburan pada jam 5.50 petang dan pengebumian dijalankan mengikut istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai menghargai jasa dan pengrobanan beliau dalam pasukan keselamatan.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Merli Zaifa Abdul Sani, 41 bersama dua anak lelaki Zhairif Iman, 19 serta Zhakil Iman, 18 dan seorang anak perempuan Merli Dhiya, 11.

Hadir memberi penghormatan terakhir ialah Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh; Timbalan Pengarah KDNKA (Kepolisan Am/Krisis Bencana), Datuk M. V. Srikumar; Komander Unit Tindakhas (UTK) Senior Asisten Komisioner Hisham Mahmood dan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof.
Terdahulu, media melaporkan Khairil Azhar, 40-an, tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking dalam kejadian sekitar jam 10.25 pagi, pada Khamis.
Allahyarham ketika itu sedang mengikuti latihan menyelam di kawasan perairan berhampiran Pos Gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). -MG Perak


