Warisan seni kompang penyatu anak muda 

DI HUJUNG Kampung Tersusun Klebang Selatan, Chemor, di Ipoh kedengaran sayup-sayup paluan kompang oleh sekumpulan anak muda yang sedang berlatih memainkan alat tradisional itu dengan penuh semangat.

Bunyi paluan seperti ‘melalu’, ‘menyilang’, ‘meningkah’ dan ‘menganak’ itu bukan sekadar bukti warisan seni tradisi Melayu terus terpelihara di tengah Bandar Raya Ipoh, malah ia menjadi medium penyatuan dalam kalangan generasi muda setempat.

Bagi Mohammad Fikri Arif Baharudin, 37, memimpin Persatuan Kelab Kompang Klebang Selatan sebagai penasihat adalah amanah yang ditinggalkan oleh allahyarham bapanya, Baharudin Mahmood, yang mengasaskan kumpulan tersebut 18 tahun lalu.

Katanya, pada peringkat awal persatuan itu disertai sekitar 40 orang yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan belia dan yang berusia.

Penglibatan anak muda dalam latihan kompang bersama Persatuan Kelab Kompang Klebang Selatan membantu memelihara warisan tradisional di samping merapatkan hubungan sesama mereka ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Tersusun Klebang Selatan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 MAC 2026.

Mohammad Fikri berkata, semangat membawa obor legasi itu kemudian diteruskan menerusi penyertaan 30 orang yang kini majoritinya terdiri daripada golongan muda iaitu seawal usia murid sekolah rendah.

“Dahulu ketika arwah ayah memimpin persatuan ini, saya masih kecil dan baru sahaja mahu belajar memegang kompang.

“Alhamdulillah, minat itu berlarutan sehingga sekarang dan kelab ini terus aktif memenuhi jemputan di segenap pelosok, daripada majlis perkahwinan, perarakan Maulidur Rasul, sehinggalah persembahan di pusat beli-belah,” katanya ketika ditemui di sini.

Penasihat Persatuan Kelab Kompang Klebang Selatan, Mohammad Fikri Arif Baharudin, 37, ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Tersusun Klebang Selatan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 MAC 2026.

Menurut Mohammad Fikri, kewujudan kumpulan kompang itu secara tidak langsung berjaya mengeratkan hubungan dalam kalangan anak muda khususnya di kawasan Kampung Tersusun Klebang Selatan.

Kata beliau, selain menitikberatkan pada aspek seni, persatuan tersebut turut mengamalkan sistem latihan berperingkat bagi memastikan setiap ahli atau peserta dapat menguasai kemahiran bermain kompang dengan baik.

Tambah beliau, pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan motivasi ahli, malah memberi peluang kepada golongan muda menjana pendapatan sampingan.

Sekumpulan anak muda berlatih paluan kompang dalam usaha memartabatkan seni warisan Melayu ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Tersusun Klebang Selatan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 MAC 2026.

“Keberadaan Persatuan Kelab Kompang Klebang Selatan sangat diterima baik dalam kalangan komuniti setempat yang mana ibu bapa sering memberi sokongan kepada aktiviti kami di sini.

“Di samping dapat mempelajari ilmu selain daripada dalam bilik darjah, para peserta persatuan juga boleh menjana pendapatan sampingan melalui bayaran bermain kompang bagi jemputan ke sebarang acara atau majlis yang kita terima,” ujarnya.

Meniti arus modenisasi melalui TikTok

Dalam era digitaliasi masa kini, kumpulan tersebut turut memanfaatkan media sosial untuk memperluas pengaruh mereka dengan memuat naik video-video persembahan di platform seperti TikTok.

Menurut Mohammad Fikri, pendekatan itu membantu menarik minat orang ramai khususnya generasi muda serta memperkenalkan seni kompang kepada khalayak lebih luas.

“Setiap kali persembahan diadakan, kita akan buat rakaman dan kongsi di media sosial. Alhamdulillah, sambutan sangat baik dan ada video yang mendapat ribuan tanda suka.

“Antara lagu yang sering menjadi pilihan ramai adalah lagu ‘Enjit-enjit Semut’ yang dicipta oleh kumpulan kami. Liriknya antara lain diselitkan dengan elemen pantun Melayu serta ucapan terima kasih atas jemputan,” katanya.

Sekumpulan anak muda berlatih paluan kompang dalam usaha memartabatkan seni warisan Melayu ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Tersusun Klebang Selatan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 MAC 2026.

Tambah beliau lagi, antara keunikan lain pada alunan alat muzik tradisional oleh Persatuan Kelab Kompang Klebang Selatan apabila ia disertakan dengan penggunaan jidur yang menjadi daya penarik kepada penonton.

“Inilah adalah identiti kita. Walaupun kompang berasal dari Johor, namun, kita bawa ke Perak dengan gaya tersendiri supaya lebih segar dan menarik.

“Selain video TikTok, atas tarikan itu juga, kami turut kerap menerima jemputan bermain kompang di acara atau majlis di luar Ipoh seperti di Cameron Highlands dan Pulau Pangkor,” ujarnya.

kompang anak muda Ipoh warisan seni kompang Perak kompang tradisional Malaysia generasi muda Persatuan Kompang Klebang Selatan aktiviti anak muda Kampung Klebang Selatan seni budaya Melayu kompang kompang TikTok Malaysia
Persatuan Kelab Kompang Klebang Selatan membuat persembahan di sebuah pasar raya sekitar Ipoh bagi memeriahkan suasana serta memperkenalkan seni warisan kepada orang ramai. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 MAC 2026.

Minat bermula dari keluarga, rakan

Bagi peserta muda, Damian Qhlaish Irfan Yussairi, 14, penglibatannya dalam Persatuan Kelab Kompang Klebang Selatan bermula daripada minat yang dipupuk melalui keluarga.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasik Damai, Chemor itu, walaupun tidak mempunyai latar belakang muzik, dia berjaya mempelajari asas permainan kompang melalui rutin latihan mingguan yang diadakan.

Peserta, Damian Qhlaish Irfan Yussairi, 14, ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Tersusun Klebang Selatan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 MAC 2026.

“Saya belajar dengan tengok abang-abang dalam kumpulan ini bermain kompang. Kadang-kadang saya berlatih di rumah guna lutut dulu untuk faham tentang cara memukul kompang dengan betul.

“Selepas dapat menguasai permainan kompang, saya merasa bangga kerana dapat main kompang sama seperti datuk saya,” katanya yang baru setahun menyertai kumpulan itu.

kompang anak muda Ipoh warisan seni kompang Perak kompang tradisional Malaysia generasi muda Persatuan Kompang Klebang Selatan aktiviti anak muda Kampung Klebang Selatan seni budaya Melayu kompang kompang TikTok Malaysia
Sekumpulan anak muda berlatih paluan kompang dalam usaha memartabatkan seni warisan Melayu ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Tersusun Klebang Selatan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 MAC 2026.

Seorang lagi peserta, Wan Fariz Irfan Wan Farizal Ahmad, 18, pula mengakui minatnya bermula secara tidak sengaja ketika diajak rakan-rakan selepas bermain sepak takraw.

Peserta, Wan Fariz Irfan Wan Farizal Ahmad, 18, ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Tersusun Klebang Selatan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 MAC 2026.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, proses pembelajaran pada awalnya agak mencabar, terutamanya untuk menyelaraskan rentak pukulan dengan vokal penyanyi.

“Waktu mula-mula dahulu, bunyi kompang saya memang tidak sedap didengar. Kemudian, saya bawa balik kompang ke rumah dan berlatih sehingga dapat menguasai rentak asas dalam tempoh seminggu.

“Selepas tiga tahun bersama kelab ini, semuanya (rentak paluan kompang) menjadi lebih mudah (untuk dimainkan). Selain menimba pengalaman, saya juga dapat sedikit wang saku untuk kegunaan sendiri,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Mohd Sapri hasilkan Rebana Perak lebih 25 tahun

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI