KUALA LUMPUR – Komposer dan pemuzik, Zul Mahat meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) malam tadi, akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Allahyarham, 64, dimasukkan ke pusat perubatan tersebut sejak Disember tahun lalu selepas terjatuh ketika membuat rawatan dialisis, mengalami kecederaan di bahagian dagu, mata serta patah tangan kanan dan bahu kanan.
Allahyarham sebelum ini turut menjalani prosedur angiogram selepas doktor mendapati ada dua saluran darah tersumbat.
Kemudian, Zul Mahat dibenarkan keluar pada bulan lalu sebelum dimasukkan semula ke pusat perubatan itu 17 Febuari lalu.
Semasa hayatnya Allahyarham banyak menghasilkan lagu-lagu untuk artis tanah air antaranya Perjalanan Duka nyanyian Min Malik, Sahabat (Fauziah Latiff) dan Sesat Dalam Gelita (Spider).
Allahyarham juga terkenal kerana pembabitannya sebagai pemain keyboard untuk kerja-kerja rakaman album artis tersohor Datuk M Nasir dan Search.- MalaysiaGazette