BATU GAJAH – Komunikasi secara bersemuka terus menjadi medium paling berkesan dalam memperkukuh hubungan sosial dan perpaduan masyarakat, khususnya dalam era digital yang menyaksikan interaksi semakin bergantung kepada teknologi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program komuniti seperti Memory Lane @ Tronoh turut memainkan peranan penting dalam menghidupkan semula budaya pertemuan fizikal yang semakin terhakis.
Menurutnya, walaupun teknologi seperti telefon pintar memudahkan komunikasi namun interaksi secara bersemuka tetap mempunyai nilai yang tidak dapat digantikan.
“Saya difahamkan, program Memory Lane @ Tronoh kali ini adalah edisi ke-16 bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Pada masa sama, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Steven Tiw Tee Siang dan juga kepada persatuan yang sentiasa menganjurkan program untuk mengumpulkan orang ramai.
“Sejak kebelakangan ini, orang ramai tidak lagi suka untuk berhimpun seperti ini dan ramai orang telah menggunakan telefon sebagai alat komunikasi, alat perhubungan.
“Sebenarnya walaupun telefon adalah alat yang canggih untuk kita berhubung, saya belajar komunikasi, belajar tentang perhubungan awam, saya percaya komunikasi paling baik ialah komunikasi secara bersemuka macam ini.

“Kalau kita telefon, kita tak dapat melihat wajahnya, hanya mendengar suaranya. Kalau pun kita buat video call, ia tidak original, dia tak sama sepertimana kita berjumpa pada hari ini.
“Dan bila kita jumpa pada hari ini, kita mengesahkan ada satu lagi pepatah Melayu yang menyebut, ‘dari mata turun ke hati’, maksudnya bila kita datang ke mari, jumpa orang ramai, kita bersalam, kita senyum, kita bertanya khabar, kita berdoa kepada dia.
“Jadi bila kita dapat berjumpa, dapat berjabat tangan, dapat bertentang mata, dapat senyum, itu dikatakan ‘dari mata turun ke hati’.
“Itulah ramuan kepada rasa percaya antara satu sama lain. Itulah menu kepada rasa kasih sayang.
“Itulah kaedah bagaimana kita nak menanamkan rasa kasih sayang antara kita, merapatkan ikatan silaturahim dan ukhuwah,“ katanya ketika berucap pada program Memory Lane @ Tronoh di Pekan Tronoh, dekat sinimalam tadi.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan membaca laporan keselamatan negeri setiap minggu untuk memastikan negeri ini berada dalam keadaan aman.
“Setiap minggu saya baca dan ia sangat penting kepada saya kerana kerajaan negeri sekarang sedang membangunkan negeri ini atas nama Perak Sejahtera 2030 dan kita menggunakan tagline ‘Negeri Makmur Rakyat Sejahtera‘,“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Memory Lane ‘hidupkan semula’ Pekan Tronoh, bantu lonjak ekonomi penduduk


