Komuniti MADANI perlu kuasai AI, redakan gelombang panik masyarakat

IPOH – Komuniti MADANI khususnya di negeri Perak memainkan peranan besar yang bukan sahaja sebagai penerima maklumat, malah juga sebagai duta komunikasi kerajaan di peringkat akar umbi.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, mereka berperanan menyalurkan mesej kerajaan secara tepat dan membina, serta menjadi jambatan antara rakyat dan agensi kerajaan.

Katanya, dengan perkembangan dunia digital serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas, Komuniti MADANI harus bergerak bagi menghalang segala maklumat yang tidak tepat daripada terus mempengaruhi masyarakat.

Komuniti MADANI kuasai AI Komuniti MADANI Perak, Mohd Azlan Helmi, kerajaan negeri Perak, AI dan digitalisasi, komunikasi kerajaan, berita Perak, RTM Perak, Internet Selamat, Digital Perak
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berucap pada majlis perasmian Taklimat Belanjawan 2026 Bersama Komuniti MADANI dan Taklimat Internet Selamat Peringkat Negeri Perak di Auditorium RTM Perak Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 OKTOBER 2025.

“Ketika ini wujud pihak tidak bertanggungjawab dengan sengaja memanipulasi sebarang isu serta menyebarkan maklumat salah dengan niat mahu menghasilkan gelombang panik, dan kegelisahan segelintir masyarakat.

“Ini adalah cabaran baru dan kita perlu benar-benar menguasai pengetahuan digitalisasi serta AI. Cabaran-cabaran ini harus kita hadapi dalam usaha menyampaikan dasar-dasar dan maklumat penting kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Taklimat Belanjawan 2026 Bersama Komuniti MADANI dan Taklimat Internet Selamat Peringkat Negeri Perak di Auditorium RTM Perak Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini, pada Selasa.

Justeru menurut Mohd Azlan, kesemua 177 Komuniti MADANI di Perak diminta untuk terus proaktif yang mana bukan sahaja menjadi pihak mendengar, malah turut sama bertindak.

Kata beliau, Komuniti MADANI bukan sekadar peserta program kerajaan, tetapi mereka adalah rakan strategik kerajaan dalam memperkukuh penyampaian maklumat, membina jaringan sosial, dan memupuk perpaduan masyarakat.

Komuniti MADANI kuasai AI Komuniti MADANI Perak, Mohd Azlan Helmi, kerajaan negeri Perak, AI dan digitalisasi, komunikasi kerajaan, berita Perak, RTM Perak, Internet Selamat, Digital Perak
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi ketika hadir pada majlis perasmian Taklimat Belanjawan 2026 Bersama Komuniti MADANI dan Taklimat Internet Selamat Peringkat Negeri Perak di Auditorium RTM Perak Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 OKTOBER 2025.

“Jadilah pemangkin yang menyampaikan maklumat kepada masyarakat, mendidik rakan komuniti tentang penggunaan internet yang selamat dan bijak, serta terus memperkukuh keutuhan sosial dalam kalangan rakyat.

“Melalui aktiviti seperti pameran maklumat, khidmat masyarakat dan sembang komuniti, mesej kerajaan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat di pelbagai lapisan,” tambah beliau.

Pada masa sama Mohd Azlan berkata, beliau berpuas hati dengan peranan 177 Komuniti MADANI di Perak apabila kesemuanya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) tahun ini dengan melaksanakan sekurang-kurangnya lima program setahun. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak terima peruntukan RM1.06 juta laksana Komuniti Madani

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI