Komuniti perlu main peranan aktif pelihara kebajikan warga emas

BAGAN SERAI – Komuniti disaran  memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga emas terus terpelihara, khususnya mereka yang tinggal bersendirian.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, sikap ambil peduli dalam kalangan jiran dan masyarakat setempat amat penting dalam membentuk persekitaran yang selamat buat golongan itu.

Katanya, beberapa laporan akhbar tentang kejadian warga emas ditemukan meninggal dunia bersendirian dalam rumah sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan kerana ia menunjukkan segelintir anggota masyarakat masih kurang cakna terhadap isu ini.

“Nasihat saya kepada komuniti dan masyarakat, jenguk-jenguklah jiran atau warga emas terutamanya yang tinggal bersendirian. Jika tidak mampu membantu daripada segi kewangan, bantulah daripada segi keprihatinan.

“Sekurang-kurangnya lihat keadaan mereka, dan sekiranya mampu, boleh memberikan bantuan kepada mereka seperti membelikan barang dapur atau membawa mereka ke klinik sekiranya sakit,” katanya.

kebajikan warga emas Perak peranan komuniti bantu warga emas warga emas tinggal bersendirian program warga emas Perak WE Fit Perak kebajikan warga emas Malaysia masyarakat cakna warga emas
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed menyantuni penerima Kad Perak Sejahtera paling tua, Siah Saad, 102, pada Program Ziarah dan Berbuka Puasa di Bagan Serai. Foto ABDULLAH YUSOF 02 MARCH 2026.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Ziarah dan Berbuka Puasa di Kampung Mentara 2, di sini, pada Isnin.

Program Salbiah menyantuni dua orang warga emas yang juga pemerima Kad Perak Sejahtera iaitu Siah Saad, 102, dan Rayah Sukor, 100.

Hadir sama, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria.

Tambah Salbiah, situasi ahli keluarga yang ada kalanya tinggal berjauhan memerlukan tanggungjawab sosial dipikul bersama oleh masyarakat setempat bagi memastikan golongan berkenaan tidak dipinggirkan.

“Kita faham situasi anak yang berada jauh. Jadi, kita sebagai jiran tetangga perlu membentuk masyarakat yang cakna dan ambil peduli terhadap warga emas di sekeliling,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Salbiah berkata, kerajaan negeri terus memperkukuh pelbagai inisiatif bagi memastikan warga emas di Perak kekal sihat, aktif dan produktif seiring dengan status negeri menua yang mendatang.

Menurut beliau, misalnya Program Warga Emas Fit (WE Fit), ia dilaksanakan dengan memberi penekanan kepada aspek kesihatan fizikal serta gaya hidup sihat bagi memastikan golongan berkenaan dapat menjalani kehidupan yang berkualiti.

kebajikan warga emas Perak peranan komuniti bantu warga emas warga emas tinggal bersendirian program warga emas Perak WE Fit Perak kebajikan warga emas Malaysia masyarakat cakna warga emas
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed menyantuni penerima Kad Perak Sejahtera paling tua, Rayah Sukor, 100, pada Program Ziarah dan Berbuka Puasa di Bagan Serai. Foto ABDULLAH YUSOF 02 MARCH 2026.

“Hasil dapatan program WE Fit yang dilaksanakan pada tahun lalu, sebahagian besar warga emas di Perak berada pada tahap kesihatan yang baik dan masih boleh bergerak aktif.

“Justeru, walaupun terdapat sebahagian mereka yang terlantar, peratusan warga emas sihat masih tinggi.

“Ini memberi gambaran terhadap hala tuju program berkaitan kebajikan warga emas yang perlu diberi tumpuan kerajaan negeri,” katanya lagi.

Tambah beliau, selain daripada pelbagai inisiatif daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerajaan negeri turut melaksanakan program Santuni Kasih yang memberi latihan kepada penjaga atau caregiver dalam usaha memperkukuh penjagaan warga emas yang uzur.

“Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa institusi dan organisasi termasuk Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP), Sunshine Quality Care dan sebagainya,” jelasnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Panggilan jiran tidak bersahut, warga emas meninggal dunia dalam rumah

Perak komited perluas akses kesihatan warga emas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI