Konflik Asia Barat: Hentikan tuding-menuding, cari jalan penyelesaian bersama

TANJUNG MALIM“Ini bukan masa untuk saling tuding-menuding antara satu sama lain. Siapa mentadbir pun, dia akan menghadapi masalah sama. Jadi kita kena hadapinya bersama-sama,” kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Susulan itu, beliau menyambut baik inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memanggil Menteri Besar, Ketua Menteri serta pemimpin utama parti politik bagi mendapatkan pandangan menyeluruh berhubung kedudukan ekonomi negara ketika ini.

Menurutnya, langkah tersebut amat tepat pada masanya memandangkan kesan konflik di Asia Barat bukan sahaja memberi impak di peringkat nasional, malah turut dirasai hingga ke peringkat negeri.

“Sekarang ini Kabinet bermesyuarat dua kali seminggu. Hari Rabu mesyuarat biasa, manakala hari Jumaat mesyuarat khusus bersama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memantau perkembangan semasa kesan ekonomi terhadap negara.

“Sudah pasti jika negara terkesan, lambat-laun negeri juga akan menerima tempias. Sebab itu saya mengalu-alukan jemputan Perdana Menteri kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri supaya kita dapat memberi pandangan dari sudut negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Perumahan Perakku Kota Malim Prima @ Tanjung Malim di Jalan KMP2, Kota Malim Prima di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching serta Pengerusi Eksekutif Berjaya Qiyam Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Stanley Gan.

Dalam pada itu, Saarani turut bersetuju dengan seruan Anwar supaya rakyat memahami situasi semasa yang sedang dihadapi negara.

“Jangan kita tambah duka, jangan mencurahkan cuka ke dalam luka kerana ia hanya akan memburukkan keadaan.

“Saya percaya pertemuan ini bertujuan mendapatkan pandangan semua pihak. Bukan sahaja ketua-ketua kerajaan, malah parti-parti politik juga akan dijemput bersama,” ujarnya.

Semalam, media melaporkan Anwar akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Ketua Menteri serta pimpinan parti politik minggu depan bagi mendengar taklimat kedudukan semasa ekonomi negara susulan konflik di Asia Barat.

Menurut beliau, taklimat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MTEN itu akan menjadi asas dalam menentukan langkah seterusnya, termasuk keperluan untuk memanggil sidang Parlimen bagi membincangkan tindakan lanjut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Konflik Asia Barat: Bekalan ubat negara stabil, pasukan petugas ditubuh pantau impak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI