PARIT BUNTAR – Konflik bersenjata antara India dan Pakistan boleh menjejaskan bekalan beras negara memandangkan kedua-duanya merupakan antara pengeksport utama ke Malaysia.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, buat masa ini India dan Pakistan mengeskport hampir 38 peratus beras putih dan basmati bagi kegunaan rakyat negara ini.
Menurut beliau, justeru itu, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merancang untuk berunding dengan Vietnam, Thailand dan Kemboja bagi meningkatkan import beras ketiga-tiga negara dalam usaha melengkapkan stok domestik.
“India dan Pakistan dalam keadaan tegang dan saya harap tidak berlaku peperangan kalau terjadi kedua-dua negara ini pengeksport beras ke Malaysia. India eksport beras putih dan basmati manakala Pakistan beras basmati.
“Sebab itulah dalam soal keterjaminan makanan kita perlu bekerjasama dengan banyak negara antaranya Vietnam, Thailand dan Kemboja yang merupakan pembekal beras kepada negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri Perak, di sini, pada Selasa.
Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis perasmian berkenaan diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Tambah beliau, meskipun ketika ini tiada gangguan terhadap kemasukan beras dari India dan Pakistan, kerajaan tetap memantau perkembangan geopolitik antara dua negara itu yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan.
“Sekarang ini belum ada masalah, tetapi kalau berlaku peperangan dan pelabuhan serta jentera mesin di negara mereka terjejas, maka kita kena bersedia.
“Saya percaya kedua-dua pihak pun tidak mahu berperang. Malah sekarang ini Rusia dan Iran sedang mainkan peranan sebagai orang tengah,” katanya.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, pihaknya melihat peluang yang ada untuk menambah stok beras domestik dari Kemboja selepas melakukan lawatan di negara tesebut.
“Kemboja misalnya dia mempunyai banyak beras berlebihan dan kita ada menyebutkan sebelum ini jika ada syarikat swasta tempatan ingin membuka kilang di sana mereka amat mengalu-alukan,” katanya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Isnin menggesa India dan Pakistan agar tidak mencetuskan konflik ketenteraan susulan ketegangan yang terus memuncak di Asia Selatan.
Dalam rayuannya, Guterres berkata, ketegangan antara India dan Pakistan kini berada pada tahap tertinggi dalam tempoh beberapa tahun.
Kedua-dua negara jiran itu telah menempatkan angkatan tentera masing-masing dalam keadaan berjaga-jaga selepas saling menuding jari berhubung serangan pengganas baru-baru ini di Kashmir yang ditadbir India. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
2.6 juta kampit beras putih tempatan ada di pasaran – Mohamad Sabu