Konsep ‘grab and go’ KauPI tambat pelanggan dari Johor, Perlis

BERMULA dengan sekadar usaha kecil-kecilan dari rumah demi menampung perbelanjaan harian keluarga, siapa sangka perniagaan kopi yang diusahakan pasangan muda di Daerah Kampar ini kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan tempatan mahupun luar daerah.

Dalam landskap keusahawanan makanan dan minuman yang semakin kompetitif, Nik Muhammad An-Nazhan Nik Zailan, 29, dan isteri, Aleeya Haqima Zainal Abiddin, 29, tidak menoleh ke belakang dalam mengembangkan perniagaan di bawah jenama ‘KauPI’.

Menurut Aleeya Haqima, perniagaan yang mengamalkan konsep ‘grab and go’ itu bermula secara sederhana dari rumah mereka di Taman Kampar Putra sekitar September 2024.

Minuman yang telah siap disediakan untuk pelanggan di premis Kaupi ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Batu Berangkai, Kampar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 MAC 2026.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, cabaran emosi dan kewangan yang dihadapi pasangan itu pada peringkat awal menjadi antara pendorong untuk mereka melangkah ke alam perniagaan secara serius.

“Perniagaan ini sebenarnya bermula dari rumah, yang mana sebagai suri rumah saya mahu membantu suami saya untuk mencari pendapatan tambahan.

“Kemudian, saya berbincang dengan suami dan mencadangkan perniagaan melalui konsep ‘grab and go’ atau ambil pesanan secara dalam talian melalui platform penghantaran makanan sedia ada,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak.

Berbekalkan modal sekitar RM3,000 hasil simpanan bekerja sambilan sebagai penghantar barang atau kurier, Aleeya Haqima dan Muhammad An-Nazhan memulakan langkah pertama dengan mendapatkan sebuah mesin kopi pada harga sekitar RM300.

perniagaan kopi KauPI Kampar usahawan kopi Kampar, kafe grab and go Perak, kisah usahawan muda Malaysia, bisnes kopi dari rumah, kafe viral TikTok Kampar
Pengusaha Kaupi, Aleeya Haqima Zainal Abiddin, 29 (kiri) ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Batu Berangkai, Kampar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 MAC 2026.

Aleeya Haqima berkata, strategi pemasaran secara atas talian iaitu menerusi platform media sosial seperti TikTok juga berjaya menarik perhatian di samping memperkenalkan konsep perniagaan itu kepada orang ramai, khususnya di daerah ini.

“Video semasa awal perniagaan yang dimuat naik oleh kami masih relevan atau mendapat banyak tontonan sehingga ke saat ini.

“Ia berjaya membawa jenama perniagaan KauPI ini dengan lebih luas serta membuatkan lebih ramai orang tertarik dengan konsep perniagaan ‘grab and go’ yang kami usahakan.

“Ini kerana pada ketika itu, konsep perniagaan ini lazimnya terdapat di bandar-bandar seperti di Ipoh,” ujarnya.

Konsep perniagaan ringkas namun bawa pulangan

Menjelaskan lebih lanjut, Aleeya Haqima memberitahu, idea konsep ‘grab and go’ tercetus daripada keperluan untuk menguruskan perniagaan dari rumah tanpa mengganggu kawasan kejiranan.

Katanya, pendekatan itu juga memudahkan dirinya untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai suri rumah dan pengusaha, di samping ketika itu suaminya juga masih berkerja dalam sektor perkhidmatan kurier.

perniagaan kopi KauPI Kampar usahawan kopi Kampar, kafe grab and go Perak, kisah usahawan muda Malaysia, bisnes kopi dari rumah, kafe viral TikTok Kampar
Pengusaha Kaupi, Aleeya Haqima Zainal Abiddin, 29, menyediakan pesanan pelanggannya ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Batu Berangkai, Kampar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 MAC 2026.

“Menerusi konsep ‘grab and go’, pelanggan hanya perlu buat pesanan melalui WhatsApp, beritahu waktu ambil, dan kami akan siapkan.

“Dan apabila sampai, mereka hanya bayar dan ambil sahaja makanan atau minuman yang telah dipesan. Konsep ini memudahkan pelanggan dan pada masa sama membantu kami menjaga kualiti produk kerana semuanya disediakan mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.

Aleeya Haqima memberitahu, pengalaman dia serta suami yang sebelum ini bekerja dengan beberapa jenama kafe dan restoran makanan segera terkemuka sedikit sebanyak membantu mereka untuk mengetahui selok-belok mengurskan perniagaan kafe.

Dari rumah ke premis tetap

Perkembangan positif yang diterima Kafe KauPI akhirnya mendorong pasangan itu untuk mencari premis lebih sesuai selepas menerima sambutan di luar jangkaan, termasuk kesesakan di kawasan kediaman.

Menurut Aleeya Haqima, peluang itu hadir apabila dia terlihat iklan kekosongan sebuah premis kecil di Jalan Iskandar, Kampung Batu Berangkai, di bawah pihak seliaan Majlis Daerah Kampar (MDKpr).

KauPi di Kampung Batu Berangkai, Kampar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 MAC 2026.

“Saya ada nampak iklan di Facebook tentang kekosongan premis dan cuba buat permohonan. Alhamdulillah, selepas melalui proses temu duga, kami berjaya dapatkan premis ini untuk disewa.

“Dan ketika ini kami masih lagi kekalkan konsep sama, cuma ada tambah ruang untuk pelanggan makan di pekarangan premis,” katanya lagi.

Ujarnya, pembukaan premis tersebut juga sebagai tanda penghargaan mereka kepada pelanggan terutama yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mencuba menu yang ditawarkan.

Suasana malam di sekitar perkarangan premis Kafe KauPI di Kampung Batu Berangkai, Kampar.

“Kesan daripada video tular di media sosial, kami ada menerima kehadiran pelanggan dari Perlis dan Johor, semata-mata untuk merasai kopi kami.

“Dan saya lihat, sebelum ini mereka terpaksa makan dalam kereta atau di depan rumah kami, dan oleh itu dengan adanya kafe ini, saya mahu beri keselesaan kepada mereka,” jelasnya.

Sokongan daripada pihak berkuasa tempatan itu dilihat positif dan mampu memperkembangkan lagi perniagaan yang diusahakan pasangan muda itu.

Usaha mereka mendapat perhatian Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang memberi dorongan dan peluang kepada mereka menyertai pelbagai acara di daerah ini.

Inisiatif tersebut turut menepati Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dicetuskan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi Flagship Kelima, iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Flagship Kesepuluh, Ekonomi Pengalaman.

Inovasi menu tempatan pilihan selera pelanggan

Walaupun bermula dari bawah, kreativiti Aleeya Haqima dan Muhammad An-Nazhan dalam mengolah menu menjadikan Kafe KauPI mempunyai tarikan tersendiri.

Aleeya Haqima berkata, dua menu ‘signature’ mereka, Kopi Latte dan My Kaupi, menjadi pilihan utama ramai kerana olahan tekstur yang lebih berkrim hasil penggunaan krim mentega dan susu oat yang berkualiti.

perniagaan kopi KauPI Kampar usahawan kopi Kampar, kafe grab and go Perak, kisah usahawan muda Malaysia, bisnes kopi dari rumah, kafe viral TikTok Kampar
Pengusaha Kaupi, Aleeya Haqima Zainal Abiddin, 29, menunjukkan Chee Cheong Fun yang menjadi pilihan pelanggan yang datang ke Kaupi di Kampung Batu Berangkai, Kampar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 MAC 2026.

“Kopi Latte itu asalnya adalah Spanish Latte yang kami olah semula dengan tambahan krim mentega supaya lebih unik rasanya.

“Manakala juadah kopi ‘My Kaupi’ pula kami menggunakan sirap kacang ‘toffee’ dan susu oat,” kongsinya lagi.

Selain minuman, Aleeya Haqima berkata, Kafe KauPI turut menawarkan menu makanan seperti ‘Shrimp Roll Cheong’ Fun yang menggunakan kulit ‘rice paper’ sebagai kelainan.

Menyentuh perancangan masa depan, dia berharap agar dapat memperluaskan lagi perniagaannya itu termasuk menambah baik konsep kafe sedia ada.

perniagaan kopi KauPI Kampar usahawan kopi Kampar, kafe grab and go Perak, kisah usahawan muda Malaysia, bisnes kopi dari rumah, kafe viral TikTok Kampar
Pengusaha Kaupi, Aleeya Haqima Zainal Abiddin, 29, menyediakan pesanan pelanggannya ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Batu Berangkai, Kampar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 MAC 2026.

“Jika ada rezeki, kami mahu besarkan kedai atau cari peluang lain (menyewa premis yang lebih besar). Saya juga berminat untuk bawa konsep ‘open space cafe’ yang masih kurang di Kampar.

“Walaupun kedai kecil, kami cuba sediakan suasana santai dengan meletakkan kerusi di luar pada waktu malam supaya pelanggan boleh menikmati kopi dan juadah kami dengan suasana terbuka,” katanya lagi.

Pada masa sama, Aleeya Haqima memberitahu mereka turut ada membuat permohonan sokongan perniagaan dengan beberapa agensi lain dan masih menunggu perkembangan lanjut. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Nurseri kopi: Anak muda Kuala Kangsar raih pendapatan lumayan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI