Kontena Israel diarah patah balik ke negara jiran – Kastam Perlis

KANGAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya mengekang motolori dari negara jiran yang membawa kontena berlogo syarikat berpangkalan di Israel daripada memasuki Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar pada Ahad lepas.

Pengarah JKDM Perlis Ismail Hashim berkata kontena syarikat Israel yang berisi ayam sejuk beku itu memasuki terowong mesin pengimbas di Unit Dagangan Jalan Raya, ICQS Padang Besar pada 12.03 tengah hari bagi melakukan pengikraran Borang K1 bertujuan melakukan pengimportan dagangan ke Malaysia.

“Semasa proses imbasan imej, pengendali mesin pengimbas mendapati kontena yang digunakan berasal dari Israel berdasarkan logo ‘ZIM’ yang tertera pada badan dinding luar kontena terbabit. Kenderaan telah ditahan untuk mendapat pengesahan dan pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata hasil semakan bersama pihak agensi kerajaan yang terlibat memaklumkan kontena berlogo “ZIM” dilarang memasuki Malaysia kerana dipercayai milik syarikat berpangkalan dari Israel.

“Kenderaan berserta kontena berisi dagangan diarah berpatah balik ke negara jiran pada hari yang sama,” katanya. – BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI