Kontraktor Melayu tidak boleh lagi guna cara lama – Saarani

IPOH – Kontraktor Melayu perlu berani mengorak perubahan dengan melabur dalam teknologi baharu di samping meneroka peluang latihan berterusan serta berinovasi dalam setiap aspek kerja.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sumbangan kontraktor Melayu khususnya di Perak tidak wajar dipandang ringan kerana dalam tempoh hampir lima dekad golongan ini telah menunjukkan kemampuan luar biasa.

Beliau berkata, bermula daripada kerja-kerja berskala kecil seperti pembinaan jalan kampung, surau dan kemudahan asas sehinggalah kini terlibat dalam projek pembangunan berskala besar, berimpak tinggi serta menepati piawaian teknologi semasa.

“Namun, kejayaan bukan diukur melalui berapa banyak projek diperoleh, tetapi sejauh mana projek itu dapat disiapkan dengan cemerlang, selamat, menepati masa dan bajet yang diperuntukkan.

“Kontraktor-kontraktor Melayu juga tidak boleh lagi terus guna cara lama,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik beliau di halaman Facebook miliknya selepas mengahadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Perak (PKMM), baru-baru ini.

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Perak (PKMM). Foto FB Saarani Mohamad

Tegas Saarani, Kerajaan Negeri Perak amat menggalakkan penyertaan aktif kontraktor dalam program pemerkasaan seperti latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kursus BIM, persijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI), serta penggunaan sistem perolehan bersepadu yang lebih telus, cekap dan berasaskan prestasi.

“Sudah tiba masanya juga mekanisme kawal selia dan saringan berasaskan merit diperkukuh secara menyeluruh.

“Kontraktor yang benar-benar memiliki keupayaan, disiplin dan rekod prestasi yang diyakini mesti diberi keutamaan dalam pelaksanaan projek pembangunan demi menjaga mutu, integriti dan keyakinan terhadap industri pembinaan tempatan,” katanya.

Saarani juga berharap agar semua warga PKMM menjadikan tahun 2025 ini sebagai titik perubahan di mana kontraktor Melayu melonjak sebagai pemacu industri moden dan terus berdaya saing. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI