Kontraktor mengaku tak salah guna penyata bank palsu mohon tender perkhidmatan pembersihan

IPOH – Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Selasa di atas lima pertuduhan melakukan pemalsuan dokumen dalam permohonan tender perkhidmatan pembersihan pada 2016 dan 2017.

Tertuduh, Yunus Abdullah, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, tertuduh didakwa menipu menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun CIMB Islamic Bank bagi tarikh 31 Mei, 31 Jun dan 31 Julai 2017 milik Lembah Larut Interprise di mana dia mempunyai sebab untuk percaya bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Mengikut pertuduhan tersebut bapa kepada empat anak itu telah mengarahkan Muhammad Sofi Salleh, 33, untuk meminda penyata akaun bank bagi permohonan Tender Perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) ke sekolah dan institusi pendidikan bagi Zon 13 Daerah Kerian di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian di Parit Buntar pada September 2017.

Sementara itu, bagi dua pertuduhan berasingan pula, tertuduh didakwa menipu menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun Maybank bagi tarikh 31 Mei dan 30 Jun 2016 milik Mega MH Resources dengan mengarahkan Muhammad Sofi untuk meminda penyata akaun bank.

Pindaan itu bagi permohonan Tender Perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) ke sekolah dan institusi pendidikan bagi Zon 26 Daerah Larut Matang dan Selama di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pejabat PPD Larut Matang dan Selama di Jalan Taming Sari, Taiping pada Ogos 2016.

Bagi kelima-lima pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor dan Pegawai Pendakwa Shahrul Azuan Ghazali manakala tertuduh diwakili Peguam Nor Fatihah Ibrahim.

Ibrahim kemudiannya menetapkan jaminan RM25,000 untuk kesemua lima pertuduhan dengan seorang penjamin serta tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Meru, Ipoh.

Mahkamah turut menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bekas Timbalan Pendaftar PTG Perak mengaku tak bersalah menipu status Tanah Rizab Melayu

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI