TAPAH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyarankan supaya koperasi yang dimiliki dan diuruskan oleh masyarakat orang asli di negeri ini perlu lebih aktif bagi membantu kehidupan seharian masyarakat setempat.
Menurutnya, setakat ini terdapat 33 koperasi milikan dan diuruskan oleh masyarakat orang asli di Perak, namun hanya sebahagian sahaja yang sudah mencapai tahap stabil.
Katanya, sebahagian lagi masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan dan beliau berharap koperasi-koperasi tersebut dapat mencontohi koperasi yang sudah berjaya.
“Kita berharap koperasi orang asli dapat membuka kedai runcit di dalam kampung mereka sendiri. Dengan adanya kedai koperasi, masyarakat Orang Asli tidak perlu lagi keluar jauh untuk membeli barang keperluan,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas menghadiri Program Gerakan Koperasi Santun Masyarakat Orang Asal Perak anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Batang Padang dan Muallim, di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Pengerusi SKM, Datuk Norihan Jalal.
Dalam perkembangan sama, Saarani turut menyentuh kejayaan Koperasi Lata Kinjang Berhad yang diberi tanggungjawab menguruskan Pusat Pelancongan Lata Kinjang.
Tambahnya, koperasi tersebut berjaya mengutip pendapatan sebanyak RM1.4 juta hasil pengurusan yang berkesan dan berpengetahuan.
“Kita akan terus menghantar mereka mengikuti kursus agar mereka lebih terbuka dan dapat memberi impak yang lebih besar kepada kemajuan koperasi mereka,” katanya.
Beliau mengakui bahawa beberapa koperasi yang diuruskan oleh masyarakat orang asli masih belum mencapai tahap yang diinginkan, khususnya dalam hal pengurusan yang berkesan.
“Oleh itu, pengurusan koperasi perlu diserahkan kepada individu yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang perniagaan.
“Saya memberi contoh Koperasi Lata Kinjang yang diuruskan oleh seorang pengurus yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran dalam bidang perniagaan. Sebab itu mereka berjaya,“ ujarnya.
Saarani berharap supaya koperasi milikan masyarakat orang asli yang lain turut diuruskan oleh pengurus yang berpengetahuan dan mempunyai visi serta misi untuk memajukan koperasi mereka. – MG Perak
Artikel Berkaitan: