TELUK INTAN – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyalurkan peruntukan sebanyak RM72,000 kepada 24 buah masjid di seluruh kawasan Parlimen Teluk Intan.
Kor Ming berkata, sumbangan itu merupakan manifestasi komitmen berterusan beliau serta DAP dalam mengeratkan hubungan silaturahim di peringkat akar umbi.
“Menerusi inisiatif ini, setiap masjid menerima peruntukan sebanyak RM3,000. Pihak pengurusan masjid yang hadir turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan bantuan yang disalurkan tersebut.
“Sejak dari tahun 2023, peruntukan hampir RM300,000 telah diberikan kepada 24 buah masjid di dalam kawasan parlimen berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kasih Aidilfitri Peringkat Parlimen Teluk Intan di sini, yang dihadiri lebih daripada 3,000 orang, baru-baru ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming menyampaikan sumbangan dana sebanyak RM72,000 kepada 24 buah masjid di seluruh kawasan Parlimen Teluk Intan pada Majlis Sentuhan Kasih Aidilfitri Peringkat Parlimen Teluk Intan.
Hadir sama, Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Woo Kah Leong serta Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan, Badrul Hisham Badarudin; dan Koh Ling Xian.
Selain itu Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, kepelbagaian budaya dan agama adalah kekuatan utama Malaysia.
“DAP adalah parti untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang. Kami akan teruskan komitmen untuk menyantuni setiap lapisan masyarakat demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terbela,” tegas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PMR 2026 Perak perkukuh peranan KPKT dekati rakyat


