Kordial Ameen produk pertama Perak raih tempat di Mali

TELUK INTAN – Pengeluar minuman, pati dan kordial berperisa, Ameen Products Sdn Bhd (Ameen) terus melebarkan sayap apabila produk mereka menjadi yang pertama di Perak menembusi pasaran negara Mali di benua Afrika.

Pengarah Urusannya, Mohammed Irfan Amanulla berkata, produk yang dieksport melibatkan tujuh minuman kordial berperisa antaranya mangga, oren, nanas, ros, anggur dan tropikal.

Menurutnya, kumpulan pertama produk Ameen yang dieksport ke Mali melibatkan lebih 1,400 karton atau 16,800 botol kordial berperisa bernilai RM90,000.

“Saya lihat Afrika mempunyai pasaran yang amat besar dan berpotensi diteroka oleh lebih ramai usahawan, bukan sahaja dari Perak tetapi seluruh Malaysia,“ katanya.

Jenama Perak tembusi Afrika: Kordial Ameen raih tempat di Mali
Pekerja melakukan kerja-kerja menyiapkan produk sirap Syarikat Ameen Products Sdn Bhd di Taman Industri Ringan, Teluk Intan. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 JUN 2025.

Tambah beliau, sebelum ini produk Ameen telah berjaya menembusi beberapa pasaran antarabangsa seperti Mauritius, Singapura, Brunei, Fiji serta Bahrain.

“Penghantaran ke Fiji dibuat kira-kira dua minggu lalu manakala eksport ke Bahrain dilakukan sekitar tiga minggu yang lepas.

“Alhamdulillah, produk yang dihantar ke Bahrain selamat tiba dan telah dibuka oleh pengimport di sana. Malah, mereka turut memuat naik video promosi di TikTok untuk memperkenalkan produk kita kepada pengguna tempatan,” jelasnya.

Beliau mendedahkan bahawa peluang untuk meneroka pasaran Afrika mula terbuka setelah syarikat menyertai pameran makanan dan minuman antarabangsa Gulfood di Dubai pada Februari lalu.

Jenama Perak tembusi Afrika: Kordial Ameen raih tempat di Mali
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed bergambar pada Majlis Pelepasan Kontena Produk Syarikat Ameen Ke Mali, Afrika di Taman Industri Ringan, Teluk Intan. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 JUN 2025.

Katanya, melalui penyertaan tersebut, syarikat berjaya menarik minat pembeli berpotensi dari Senegal dan Afrika Selatan, walaupun rundingan masih berjalan.

“Produk kita diterima dari segi rasa dan pembungkusan namun, isu utama adalah harga yang perlu kompetitif kerana kos penghantaran dan cukai import di pihak mereka agak tinggi. Jadi, kita cuba kurangkan kos produk untuk terus bersaing,” katanya.

Mengulas mengenai strategi untuk berjaya dalam pasaran antarabangsa, beliau menasihati para usahawan agar memperkukuh pasaran tempatan terlebih dahulu.

“Kita perlu kukuhkan pasaran tempatan kerana daripada situ kita boleh bangunkan kapasiti pengeluaran yang stabil.

“Selain itu, kita juga boleh memohon sijil-sijil penting seperti halal, Good Manufacturing Practise (GMP) dan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) yang amat diperlukan untuk tujuan eksport,” ujarnya.

Jenama Perak tembusi Afrika: Kordial Ameen raih tempat di Mali
Pekerja melakukan kerja-kerja menyiapkan produk sirap Syarikat Ameen Products Sdn Bhd di Taman Industri Ringan, Teluk Intan. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 JUN 2025.

Beliau turut menegaskan bahawa tanpa sokongan pasaran tempatan, usaha menembusi pasaran antarabangsa mungkin sukar untuk bertahan.

“Sebaiknya kita sudah ada pelanggan tetap di pasaran tempatan seperti pasar raya dan pemborong runcit sebelum cuba menembusi pasaran luar. Pasaran eksport ini tidak mudah dan tidak semua rundingan akan berjaya,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Salbiah Mohamed menyempurnakan Majlis Pelepasan Kontena Produk Syarikat Ameen Products Sdn Bhd ke negara itu di Taman Perindustrian Ringan di sini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak sasar 20 usahawan tembusi pasaran antarabangsa tahun ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI