Koridor TVET Negara bantu anak Perak peroleh pekerjaan, gaji lebih baik

PELAN Perak Sejahtera 2030 meletakkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara tunjang utama kepada pembangunan modal insan dan ekonomi negeri.

Pelbagai usaha telah, sedang dan akan dilaksanakan Kerajaan Negeri Perak dalam memastikan hasrat berkenaan terlaksana demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri ini.

Usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu meliputi pelbagai aspek antaranya membina ekosistem latihan bersepadu, memperkasa modal insan, menarik pelaburan dan menyediakan laluan pendidikan alternatif yang bermakna.

Bermula dengan sasaran menjadikan Perak sebagai hab utama TVET negara menjelang 2030 diikuti Penubuhan Majlis TVET Negeri Perak dan lain-lain lagi usaha giat dijalankan kerajaan negeri.

Ia termasuklah menarik pelbagai pelaburan ke Perak agar peluang pekerjaan dapat diwujudkan di negeri ini dan seterusnya lebih ramai tenaga kerja dari bidang TVET dapat disediakan.

Gambar Fail: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meninjau Kilang Green Excel Manufacturing Sdn Bhd di Taiping, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 MAC 2025.

Saarani baru-baru ini berkata kepada pemberita bahawa, kerajaan negeri tidak memandang enteng usaha menjadikan Perak sebagai koridor TVET negara.

Beliau berkata, Perak juga berhasrat menjadi sebuah negeri perindustrian dengan membangun beberapa pusat perindustrian disamping mencari pelabur-pelabur membuka perniagaan di negeri ini.

“Bila kita sudah ada pusat perindustrian, ada pelabur, ada kilang dibina kita perlu mengisinya dengan pekerja berkemahiran.

“Sebab itu dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 kita ada sembilan agenda dan salah satu daripadanya adalah TVET dengan menjadikan Perak sebagai Koridor TVET Malaysia,” katanya.

Beberapa projek berimpak tinggi juga sedang dilaksanakan kerajaan negeri seperti Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Silver Valley Technology Park (SVTP) dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).

Hal ini secara terang bakal menjadi platform penting kepada graduan TVET Perak dalam mempamerkan kebolehan dan kemampuan mereka di mana dianggarkan lebih 100,000 peluang pekerjaan bakal ditawarkan dalam tempoh 10 tahun.

Gambar Fail: Kilang Central Medicare Sdn Bhd adalah syarikat pengeluar sarung tangan di Changkat Jong, Teluk Intan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 MEI 2024.

Jika benar perkara berkenaan perlu direbut golongan muda di Perak sebelum kekosongan yang ada diisi tenaga kerja dari luar negeri mahupun warga asing.

Perkara ini sendiri ditegaskan Saarani agar peluang pekerjaan yang sedang dan bakal ditawarkan menerusi pembangunan sektor perindustrian Perak direbut rakyat negeri ini sebelum ia diisi orang luar.

“Inilah masa untuk anak Perak rebut peluang, tak perlu berhijrah ke negeri lain tetapi syaratnya mereka mesti ada sijil kemahiran yang diiktiraf.

“Tapi kalau orang Perak tak ambil peluang ini, kita buka kepada orang Perlis, Terengganu, Kelantan… tapi tak apa sebab orang Malaysia. Kalau tak cukup juga, kita buka peluang kepada orang Bangladesh, Indonesia dan sebagainya,” katanya.

Ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan negeri bahawa TVET bukan sekadar platform untuk melahirkan tenaga kerja mahir tetapi juga sebagai medan penting bagi membentuk inovator, pemimpin dan usahawan yang mampu menjadi agen perubahan dalam ekosistem teknologi dan ekonomi masa hadapan.

Berdasarkan keyakinan ini, Kerajaan Negeri bertekad untuk menjadikan Perak sebagai Koridor TVET Negara dengan memanfaatkan projek berimpak tinggi seperti AHTV, KIGIP, SVTP dan LuMIC sebagai landasan utama kepada graduan TVET untuk memperlihatkan kebolehan serta menyumbang kepada pertumbuhan industri.

Maka tidak hairan apabila Majlis TVET Negeri Perak ditubuhkan pada 2024 sebagai badan pemantau untuk memastikan pembangunan modal insan selaras dengan keperluan industri semasa melalui kerjasama erat antara sektor awam dengan swasta.

Inisiatif ini diterajui oleh Pusat Aspiras Anak Perak (PASAK) dan merupakan langkah penting demi merealisasikan visi Perak Sejahtera 2030 untuk menjadikan Perak sebagai Hab Koridor TVET Negara.

Gambar Fail: Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad ketika bergambar pada majlis pelancaran Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa, Bantuan Baucar Buku dan Jelajah AIM TVET With Cikgu Saarani 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 APRIL 2025.

Bagi memastikan anak muda Perak tidak ketinggalan golongan berkenaan diseru sentiasa mengikuti perkembangan Jelajah AIM TVET With Cikgu Saarani agar dapat memahami hasrat Kerajaan Negeri selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030

Pelaksanaan program seperti Jelajah AIM TVET with Cikgu Saarani dan Jelajah TVET 2025 dilihat sebagai usaha proaktif Kerajaan Negeri Perak mendekati masyarakat dan golongan belia.

Langkah ini dilihat sebagai usaha membuang stigma bahawa TVET merupakan pilihan kedua dan mempromosikannya sebagai laluan kerjaya utama yang setara dengan pendidikan akademik dengan kelebihan menyediakan kemahiran praktikal dan akses kepada pekerjaan berkualiti.

Program ini turut memberikan pendedahan secara langsung kepada peluang dalam industri selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa yang semakin berteraskan teknologi dan inovasi.

Tidak terhenti di situ, pendekatan TVET di Perak juga jelas bersifat inklusif merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk belia, orang kurang upaya (OKU), anak yatim, komuniti orang asli dan warga emas.

Sebagai contoh, program Satu Warga Satu Skil diperkenalkan untuk meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja dan memperkukuh ekosistem penjagaan komuniti melalui latihan kemahiran yang relevan.

Bagi mengembangkan potensi tenaga kerja berkemahiran tinggi, Kerajaan Negeri juga telah menghantar 55 orang belia ke negara pelopor dalam bidang TVET seperti Jerman dan China untuk mengikuti latihan kemahiran jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

Langkah ini merupakan permulaan penting untuk membangunkan modal insan yang bukan sahaja memenuhi keperluan pasaran domestik malah turut berdaya saing pada peringkat global.

Perak kini mempunyai 62 institusi pendidikan TVET daripada keseluruhan 100 institusi pendidikan tinggi di negeri itu, termasuk Kolej Komuniti, Giat MARA, IKM, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Politeknik Ungku Omar dan Politeknik Sultan Azlan Shah.

Penyediaan tenaga kerja berkemahiran bukan sahaja untuk memenuhi kehendak industri, tetapi turut menjadi asas kepada kemakmuran rakyat melalui peluang pekerjaan bergaji tetap dan tinggi. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI