PARIT – Permasalahan tapak menjadi penghalang utama kepada pembinaan projek Kompleks Sukan Seri Iskandar, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.
Menurut beliau, ia ekoran tapak yang dicadangkan sebelum ini memerlukan kerja rawatan tanah dengan kos tinggi dan masalah berkenaan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum ia boleh dibawa dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Jelas Khairudin, lawatan bersama pihak pembangunan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jabatan Belia dan Sukan (JBS) sudah pun dijalankan, namun permasalahan tapak masih menjadi penghalang utama.
“Proses lawatan kerja oleh pihak pembangunan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jabatan Belia dan Sukan (JBS) telak terlaksana cuma kita ada masalah dari segi tapak yang dicadangkan Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah.
“Ia memerlukan kerja-kerja rawatan yang agak tinggi kosnya dan perlu dibuat permohonan untuk selesaikan dahulu dan kemudian barulah proses permohonan itu boleh di angkat dalam RMK13,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Konvoi Merdeka Klasik Mercedes Benz (GPMP) 2025 sempena 50 Tahun Jubilee Emas Felcra Nasaruddin di Dataran Cempaka Sari, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Khairudin berkata, usaha membangunkan Kompleks Sukan Seri Iskandar bukan perkara baharu kerana sudah mula diperjuangkan sejak era bekas Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan diteruskan oleh barisan Exco selepas itu.
Saya sendiri sudah turun dua kali bersama bahagian pembangunan KBS, JBS dan pegawai daerah untuk meninjau tapak asal serta tapak alternatif. Perbincangan masih berjalan.
“Yang pentingnya, proses ini (penyediaan tapak) telah dimulakan sejak awal 2018 lagi, kita melihat dari segi kesesuaian dan sebagainya.
“Saya yakin pembinaan kompleks ini akan dimasukkan sebagai salah satu projek keutamaan dalam RMK13 selepas isu teknikal tapak diselesaikan nanti,” katanya.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim sebelum ini menjelaskan pihaknya masih menunggu penyelesaian isu tapak oleh kerajaan negeri sebelum permohonan pembinaan kompleks tersebut dikemukakan semula kepada KBS untuk dipertimbangkan dalam RMK13. -MG Perak