KP Perak bantu pegawai rendah polis terlibat kemalangan sewaktu iring PM

IPOH – Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris segera menghulurkan bantuan kepada seorang pegawai rendah polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang terlibat dalam kemalangan ketika bertugas pagi tadi.

Perkara itu dikongsikan melalui paparan laman Facebook Polis Perak malam tadi.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan dalam media sosial tersebut, Azizi bersama beberapa anggota sedang membantu mengangkat dan mengalihkan motosikal milik polis terbabit.

Sewaktu kejadian Lans Koperal Mohd Faizol Deraman sedang menjalankan tugas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, di sini.

“Pegawai rendah terbabit sedang menaiki motosikal sambil mengawal lalu lintas bagi memastikan kelancaran pergerakan konvoi Perdana Menteri.

“Ketika insiden berlaku, sebuah kenderaan yang berada di hadapan Lans Koperal Mohd Faizol berhenti secara tiba-tiba di laluan kiri lalu dirempuh oleh beliau yang kebetulan berada di laluan yang sama,” jelas hantaran tersebut.

Mohd Faizol yang mengalami cedera ringan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Hantaran itu memaklumkan, Anwar yang dalam perjalanan untuk menyambut ketibaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut menyaksikan kejadian yang menimpa polis terbabit.

“Bersimpati dengan kejadian tersebut, Perdana Menteri telah memberikan sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pegawai rendah polis tersebut,” jelas hantaran itu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

WCIT platform terbaik bincang permasalahan dunia Islam – Jusuf Kalla

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI