KPDN, FAMA kena tangani isu kenaikan mendadak harga sayur, buah – CAP

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil tindakan bagi menangani kenaikan harga sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ia susulan tinjauan pihaknya baru-baru ini mendapati kenaikan harga mendadak dalam tempoh hanya dua minggu.

Jelasnya, harga kacang didapati melonjak daripada RM9 kepada RM17.50 sekilogram dan bendi daripada RM7 kepada RM12.50.

Manakala harga kacang panjang daripada RM8 kepada RM20, sawi daripada RM6 kepada RM12 dan cili merah daripada RM8 kepada RM18.

“Kenaikan harga mendadak ini dikaitkan dengan kekurangan barangan yang disebabkan oleh musim hujan baru-baru ini malah peniaga turut beri amaran harga sayur-sayuran dan buah-buahan dijangka meningkat lagi.

“Justeru unit penguatkuasaan KPDN perlu menyiasat kenaikan harga mendadak itu sehingga menyebabkan kesukaran ketara kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.

“Malah kenaikan harga ini boleh memberi kesan serius kepada diet isi rumah berpendapatan rendah kerana mereka mungkin terpaksa mengurangkan barangan makanan penting kerana kos yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohideen, meskipun gesaan berulang kali dilakukan pihaknya berhubung perkara itu namun FAMA dilihat tidak mengambil langkah mencukupi dan berkesan bagi mengawal pemasaran dan pengedaran sayur-sayuran.

“Ia bermakna tuntutan kami diabaikan. Jadi CAP menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meningkatkan kecekapan saluran pengedaran makanan.

“Peranan orang tengah perlu dikurangkan bagi mewujudkan pasaran langsung dan menambah baik rantaian bekalan yang boleh membantu mengurangkan kos.

“Kerajaan juga perlu menyokong petani menerusi subsidi yang disasarkan, program latihan agroekologi dan bantuan kewangan yang boleh meningkatkan pengeluaran dengan ketara dan membantu mengurangkan harga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI