IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan semua peniaga durian supaya menggunakan alat timbang yang masih dalam tempoh sah, terutama sepanjang musim raja buah itu ketika ini.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, peniaga yang didapati menggunakan alat timbang luput tempoh sah boleh dikenakan tindakan kompaun atau didakwa di mahkamah.
“Baru-baru ini, kami telah mengenakan kompaun terhadap seorang peniaga durian di Kuala Kangsar selepas didapati menggunakan alat timbang yang sudah tamat tempoh.
“Kami memeriksa empat premis perniagaan durian di Kuala Kangsar dan mendapati sebuah premis gagal memastikan alat timbang mereka dalam tempoh sah.
“Justeru, kita mengeluarkan kompaun bernilai RM200 mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972 terhadap premis berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan pemantauan penguatkuasaan Ops Kesan 4.0 di Pasar Raya TF Value-Mart Tambun, dekat sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Kamalludin memaklumkan setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna berhubung salah laku lain peniaga durian termasuk isu harga.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya menjadi pengguna bijak terutama dalam memastikan alat timbang yang digunakan peniaga berada dalam tempoh sah.
“Sebagai pengguna kita ada hak untuk membeli durian pada harga yang dirasakan berbaloi, bergantung kepada jenisnya.
“Namun, jika ada terdapat salah laku peniaga seperti dalam soal penggunaan alat timbang, segera laporan kepada KPDN untuk kita siasat dan seterusnya ambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: