IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak akan membantu orang ramai termasuk di kawasan luar bandar untuk mendaftar dengan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) melalui Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM).
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pelaksanaan pendaftaran sistem berkenaan akan dimulakan secara rintis menerusi PJRM yang akan dilaksanakan di seluruh negeri, sebelum ia diperlukaskan ke premis peruncitan lain.
“Pelaksanaan rintis (pendaftaran) aplikasi eCOSS akan dilaksanakan melalui PJRM di Negeri Perak mulai hari ini.
“Justeru pada peringkat awal, kita tidak melibatkan pasar raya atau kedai runcit kerana kita mahu uji keberkesanan (pendaftaran terhadap sistem ini) di lokasi-lokasi PJRM terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Program Jualan Rahmah KPDN di Bangunan Persekutuan Greentown, dekat sini, pada Jumaat.
Media sebelum ini melaporkan KPDN kini memperluas penggunaan sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) melalui aplikasi mudah alih Sistem ‘Mobile eCOSS’ secara berperingkat sejak Mei lalu.
Sistem eCOSS mula dibangunkan pada 2023 dan telah digunakan sepenuhnya mulai tahun lepas, dengan pelaksanaan dasar dan prosedur operasi standard (SOP) program tertakluk kepada jumlah had siling kuota minyak masak paket yang ditetapkan kerajaan.
Mengulas lanjut, Kamalludin berkata, pihaknya menyedari orang ramai terutama di warga emas, mungkin menghadapi sedikit kesukaran untuk mendaftar pada peringkat awal.
“Sehubungan itu, KPDN Perak akan menempatkan pegawai di setiap lokasi PJRM bagi membantu orang ramai melengkapkan pendaftaran dengan sistem tersebut,” katanya.
Menurut beliau, sistem eCOSS berfungsi sebagai platform pemantauan berasaskan aplikasi mudah alih yang menggunakan kod QR untuk mengawal pengedaran dan penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada pengguna tempatan.
“Penggunaan sistem ini akan melengkapkan pemantauan rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi satu kilogram (kg) bermula dari peringkat kilang penapisan hingga ke pengguna akhir.
“Melalui pelaksanaan ini, kita berharap ia dapat membendung ketirisan minyak masak bersubsidi kepada warga asing,” tambahnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN ingatkan peniaga durian guna alat timbang sah