KPDN Perak patahkan cubaan seludup 80 paket minyak masak ke Thailand

GERIK – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup 80 paket minyak masak 1 kilogram (kg) ke Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, pada Selasa.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, ia susulan pihak KPDN Cawangan Gerik menerima serahan kes berkenaan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 Pengkalan Hulu pada jam 10 pagi.

Katanya, dua lelaki warga Thailand yang kedua-duanya berusia 47 tahun ditahan selepas disyaki cuba membawa keluar barang kawalan minyak masak paket 1kg ke negara jiran.

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemui sebanyak 80 peket minyak masak 1kg dan sebuah kenderaan pendaftaran asing jenis Isuzu D-Max.

“Kenderaan dan barang kawalan telah disita untuk tindakan lanjut. Jumlah nilai sitaan adalah dianggarkan berjumlah RM40,300,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Menurut beliau, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974

Kamalludin berkata, ia memperuntukkan hukuman terhadap seseorang, selain dari badan korporat, tetapi termasuk pengarah atau pegawai sesuatu badan korporat jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

Kata beliau, manakala mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap akta sama, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

“KPDN memberikan amaran dan menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan dan akan memastikan tindakan lebih tegas termasuklah pendakwaan di mahkamah,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

KPDN serbu stor haram simpan 5,550 liter diesel tanpa permit

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI