TANJUNG MALIM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 19,000 liter cecair minyak diesel yang disyaki disimpan tanpa permit di sebuah tapak pembinaan di Ladang Changkat Asa, dekat sini, pada Selasa.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan yang dilakukan KPDN Cawangan Tapah sekitar jam 1.30 tengah hari itu menemukan dua tangki skid yang mengandungi bahan api berkenaan.
Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang mengaku sebagai pengurus tapak pembinaan gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan tersebut ketika diminta penguat kuasa.
“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita beberapa peralatan yang berkaitan serta minyak diesel, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM60,550.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Dalam pada itu, Kamalludin menegaskan bahawa KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan, dan akan mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah.
“KPDN akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan melalui Inisiatif baharu dikenali sebagai ‘Kita Gempur’ sebagai langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa dalam menangani isu manipulasi aktiviti perniagaan.
“Ia termasuk usaha mencegah penyelewengan barang kawalan, mengekang penipuan perniagaan dalam talian, membanteras monopoli dan kewujudan kartel,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: