IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 493 unit katrij pencetak berjenama disyaki menggunakan cap dagang palsu dalam serbuan di sebuah premis di sini, pada Khamis.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan di sebuah premis perniagaan di Jalan Pasir Puteh di sini, sekitar jam 11.30 pagi semalam.
Menurut beliau, serbuan dilakukan berikutan aduan wakil pemilik cap dagangan berhubung penjualan katrij pencetak berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis tersebut.
Ujarnya lagi, hasil maklumat siasatan mendapati katrij pencetak ini dipercayai dipasarkan dan dijual melalui platform e-dagang.
“Hasil pemeriksaan lanjut di premis tersebut, pasukan serbuan telah menyita katrij pencetak berjenama yang disyaki menggunakan cap dagang palsu sebanyak 493 unit dan pelbagai dokumen.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM4,667 dan seorang lelaki warga tempatan yang mengaku bertanggungjawab sebagai pengurus syarikat telah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Kamalludin berkata, wakil pemilik cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan disyaki premis berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah di bawah seksyen 100 iaitu kesalahan yang disyaki telah dilakukan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.
Katanya lagi, jika disabit kesalahan sekiranya orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu.
Jelas Kamalludin lagi, bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.
“Jika orang itu ialah bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Kamalludin berkata, KPDN memandang serius kes seumpama ini bagi melindungi hak pemilik cap dagang dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik sesetengah peniaga, yang cuba mengaut keuntungan mudah melalui penjualan barangan tiruan. -MG Perak