IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 913 unit aksesori telefon bimbit yang disyaki tiruan bernilai RM27,742 daripada empat premis berasingan di empat daerah, pada Isnin.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilokasi berasingan itu dibuat di Ipoh, Manjung, Parit Buntar dan Taiping
Katanya, serbuan berkenaan dilakukan menerusi operasi membanteras penjualan dan pengedaran barang tiruan melibatkan alat ganti serta barangan aksesori telefon bimbit berjenama.
“Ia hasil aduan dan maklumat oleh wakil pemilik cap dagang yang memaklumkan terdapatnya aktiviti penjualan alat ganti dan aksesori telefon bimbit berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis-premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemui sebanyak 913 unit aksesori telefon bimbit yang kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Selasa.
Kamalludin berkata, wakil cap dagang yang turut hadir semasa operasi turut telah melakukan pengesahan awal ke atas semua barangan yang dirampas di premis-premis tersebut.
“Disyaki kesemua premis yang diperiksa telah melakukan kesalahan dan kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019,”
“Jika sabut kesalahan dena sehingga RM15,000 boleh dikenakan terhadap suatu pertubuhan perbadanan manakala denda hingga RM10,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu,” katanya lagi.
Ujar beliau, KPDN memandang serius dalam soal melindungi hak pemilik cap dagang melalui pemantauan dan risikan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama.
Ujar beliau, ia bagi membanteras aktiviti penjualan barang tiruan dan seterusnya dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing terutamanya di negeri Perak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN Perak serbu dua pusat hiburan, rampas peralatan bernilai RM31,870


